BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assaalmu'alaikum, saya ingin bertanya soal pengiraan haid dan masa suci. Bagi wanita yang kebiasaan haidnya 15 hari (atau lebih), berapa kiraan tempoh masa suci antara haid pertama dan haid kedua ? Jika minimum suci 15 hari, bagaimana kalau wanita itu mengalami haid dalam tempoh suci ? Adakah dikira haid juga, atau hanya perlu mengambil syarat haid setelah cukup 15 hari suci ? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Tempoh maksimum bagi kitaran haid adalah 15 hari 15 malam manakala tempoh minimumnya adalah sehari semalam (24 jam). Secara asasnya, darah yang keluar berterusan melebihi tempoh maksimum haid atau darah yang keluar ketika belum cukup tempoh minimum suci (15 hari), ia menunjukkan berlakunya percampuran antara darah haid dan darah Istihadhah.

Bagi menentukan perbezaan darah haid atau Istihadhah, ia boleh dikenal pasti dengan dua kaedah, iaitu perbezaan warna darah (kaedah Tamyiz) dan kaedah Adat kebiasaan.

  1. Kaedah tamyiz (membezakan) jenis darah dengan menentukan darah yang kuat dan lemah melalui perbezaan warna darah tersebut. Darah kuat dianggap sebagai darah haid sebaliknya darah lemah adalah darah Istihadah. Sebagai contoh: pada 3/3 hingga 13/3 darah yang keluar tersebut adalah lemah seperti berwarna keruh maka ia dianggap sebagai darah istihadhah. Manakala darah yang keluar pada 14/3 jika warnanya lebih kuat seperti berwarna hitam maka ia merupakan darah haid. Oleh itu, tempoh haid puan bermula pada tarikh 14/3. Jika tidak dapat dibezakan darah tersebut maka perlu menggunakan kaedah yang kedua iaitu kaedah adat.
  2. Kaedah adat. Kaedah ini adalah dengan melihat adat kebiasaan tempoh haid puan pada bulan sebelumnya. Sebagai contoh, tempoh kebiasaan haid adalah 11 hari, maka pada 3/3 hingga 13/3 adalah dianggap sebagai haid, manakala selebihnya hari berikut adalah suci sehingga tempoh minimum suci iaitu 15 hari 15 malam.

Merujuk soalan yang diajukan, darah yang keluar ketika belum cukup tempoh minimum suci (15 hari) tetap dikira Istihadhah . Namun, puan digalakkan mengira semula kitaran haid menggunakan kaedah yang diberikan di atas.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 5

message user image