BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam, saya ada soalan berkenaan najis pada masa yang lalu.

Saya dahulu menuntut pelajaran di luar negara iaitu Amerika Syarikat selama 4 tahun. Pada waktu itu, saya agak jahil. Saya makan di restoran di sana walaupun restoran tersebut menghidangkan menu khinzir dan sebagainya. Saya tidak makan khinzir atau haiwan yang tidak disembelih, tapi saya akan memesan makanan yang tiada haiwan ini sebagai bahagian utama. Tetapi sekarang saya terfikir kembali, contoh saya memesan dumpling sayur atau dumpling udang. Tetapi saya tidak minta supaya sup dumpling tersebut diperbuat daripada bahan sayuran sahaja.

Saya ada pelbagai senario seperti ini yang bermain di fikiran saya. Contohnya saya ke kedai sandwich yang menghidangkan khinzir dan sebagainya, tetapi saya memesan makanan seperti ikan. Dan saya tak pasti / tak tahu apakah kuah di ikan itu diperbuat atau dimasak bersama makanan haram yang lain.

Masalah saya sekarang ialah, bagaimana pula dengan barangan saya terutamanya pakaian seperti jaket yang saya pakai sewaktu di restoran-restoran tersebut?

Walaupun saya basuh jaket tersebut di dobi tapi tidak sertu, bolehkah saya menggunakan jaket ini lagi?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, mengambil sumber makanan yang halal merupakan kewajipan setiap individu Muslim kerana ia menjadi asas kepada keberkatan dalam kehidupan. Tidak kiralah sama ada tinggal di dalam negara Islam mahupun bukan Islam. Oleh itu, makan di restoran non-Muslim yang terang-terangan menjual makanan dan minuman yang tidak halal, maka jelas haram hukumnya makan di restoran sebegini. Manakala makan di restoran non-Muslim yang mendakwa menyediakan makanan yang halal, tetapi tidak memiliki pengiktirafan JAKIM, maka ia dikira sebagai syubhah yang perlu dijauhkan.

Berkaitan dengan pakaian seperti jaket yang dipakai adalah kekal suci selagi tidak yakin terkena najis secara langsung semasa berada di restoran tersebut. 

Baju jaket yang telah dibasuh di dobi adalah boleh digunakan semula dan tidak perlu di sertu jika tidak diyakini terdapat atau terkena najis Mughallazah padanya. 

Walau bagaimanapun, puan boleh abaikan sahaja perkara tersebut dan beristighfar serta memohon kepada Allah SWT agar segala amal ibadah yang sebelum ini semasa dalam keadaan jahil diterima Allah SWT. Perkara tersebut telah pun berlalu 4 tahun yang lalu, puan juga tidak pasti akan keadaan yang telah lama berlalu tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 2

message user image