BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Bolehkah tuan/puan memberi maklumat kepada saya berkenaan tarekat yang telah diluluskan di Selangor dan Malaysia. Atas pengalaman kuliah-kuliah di masjid dan pembacaan, mengikuti Tarekat ini penting untuk guru menunjukkan jalan yang benar kepada Allah. Di waktu ini, saya cuba mencari jalan untuk mencari guru-guru mursyid untuk pembelajaran agama. Tetapi bimbang jalan yang dibawa tersimpang dari ajaran islam yang sebenar. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, Jabatan Mufti Negeri Selangor tidak mengeluarkan senarai tarekat yang diperakui atau diluluskan. Bagaimanapun, terdapat beberapa kumpulan tarekat yang telah difatwakan menyeleweng iaitu, Tarekat Al-Hasaniah, Tarekat Samaniah Ibrahim Bonjol, Tarekat Islam Muhammad SAW Habibullah Al-Hashimi, Tarekat Zikrullah Hasan Anak Rimau, Tarekat Naqsyabandiah Kadirun Yahya dan Tarekat Mufarridiah Ajaran Syeikh Makmum Yahya. Walau bagaimanapun, antara ciri-ciri amalan tarekat yang diperakui adalah: i. Amalan tersebut hendaklah diasaskan dengan kekuatan ilmu mengenai aqidah, syariah dan akhlak. ii. Tidak menganggap martabat dirinya lebih tinggi dan amalannya lebih suci daripada orang yang tidak mengikut ajaran tarikatnya. iii. Zikir yang diamalkan mempunyai sandaran dari al-Quran, al-Sunnah, amalan para sahabat dan salafussoleh. iv. Memperbanyakkan zikir dengan penuh keikhlasan. v. Tidak berzikir sampai keperingkat lupakan diri. vi. Bersifat warak dengan menjaga halal-haram, syubhah dan sia-sia secara istiqamah termasuk amar makruf dan nahi mungkar. vii. Tidak menambah lafaz syahadah. viii. Sentiasa membersihkan jiwa dengan menjauhi sifat-sifat tercela (mazmumah) dan mengamalkan sifat-sifat terpuji (mahmudah). ix. Cara amalan mengikut salasilah asal mengikut sunnah yang bertepatan dengan aqidah, syariah dan akhlak. x. Mendapat bimbingan dari guru yang mempunyai ciri-ciri berikut: a. Berilmu dan sedia menyampaikan ilmu secara terbuka b. Berakhlak mulia dan warak c. Ahli ibadah yang berwibawa (thiqah) d. Tidak mewajibkan sebarang bayaran e. Tidak mengikat pelajar menuntut di tempat lain xi. Dalam beramal tidak meninggalkan tuntutan syariah walau di peringkat ketinggian (maqam) mana sekalipun. Kerana ia bertentangan dengan amalan Rasulullah SAW. Disamping itu, boleh dapatkan Buku Garis Panduan Dalam Amalan Tarekat yang dikeluarkan oleh Jabatan ini untuk panduan tuan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 242

message user image