BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan Mufti. 
 

Saya dapat jawapan dari pada pihak Tuan mufti Berkenaan dengan Riba pada 25/11/2025. Disini ada persoalan dari jawapan pihak mufti. 
 

Jawapan dari Pihak Mufti

  1. Merujuk kepada ayat al-Quran yang dimaksudkan, Islam memberi kelonggaran atau boleh menangguhkan bayaran hutang kepada individu yang menghadapi kesukaran untuk membayar hutang. Namun begitu, perlu difahami bahawa akad pembiayaan kenderaan adalah kontrak yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak untuk dipatuhi. Jika berlaku tunggakan, pelanggan akan dikenakan caj sebagaimana dipersetujui dalam kontrak. Adalah sebaiknya puan merujuk kepada bank yang membiayai kenderaan puan jika boleh dibuat penstrukturan semula bayaran jika benar-benar mempunyai masalah kewangan supaya dapat mengelak daripada berlaku penarikan kereta seperti dalam kontrak perjanjian. Tambahan pula, dalam perjanjian tersebut juga dimaklumkan bahawa jika pelanggan terus gagal membuat bayaran, pihak bank berhak mengambil semula kenderaan tersebut kerana ia masih milik bank sepanjang tempoh sewaan. 

Persoalan 

1. Berkenan rujukan ayat al-Quran & Hadith Di bawah, ini termasuk kepada umat islam seluruhnya kan ? Bank itu adalah satu kumpulan daripada individu yang bergabung untuk membuat Perniagaan. Etika individu.

Al Baqarah 280

If it is difficult for someone to repay a debt, postpone it until a time of ease. And if you waive it as an act of charity, it will be better for you, if only you knew.

 

Narrated Hudhaifa:

I heard the Prophet saying, "Once a man died and was asked, 'What did you use to say (or do) (in your life time)?' He replied, 'I was a business-man and used to give time to the rich to repay his debt and (used to) deduct part of the debt of the poor.' So he was forgiven (his sins.)" Abu Masud said, "I heard the same (Hadith) from the Prophet."

2. Etika sewa didalam islam, boleh ke jika penyewa tidak dapat bayar kerana mengalami masalah kewangan, pemberi sewa boleh mengecas extra charges & blacklisted Nama? Boleh bagi Nas Al-Quran atau Hadith ?Tarik adalah hak pemberi sewa. 

3. Memang terms & conditions ada didalam agreement, Cuma adakah penyewa benar2 tahu tentang etika sewa beli didalam islam ? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan,

Soalan pertama:

Dalam urusan sewa beli atau pembiayaan, Islam menekankan dua perkara utama: keadilan dan pematuhan kepada akad yang dipersetujui. Apa-apa syarat yang telah jelas dalam perjanjian adalah mengikat, selagi tidak bercanggah dengan prinsip syariah. Namun, Islam juga sangat menitikberatkan ihsan dan toleransi terhadap individu yang berada dalam kesempitan kewangan.

Merujuk kepada ayat al-Quran, Islam memberi kelonggaran kepada individu yang benar-benar mengalami kesukaran untuk melunaskan hutang. Firman Allah dalam surah al-Baqarah 280:

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ

Maksudnya: Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya

Namun dalam masa yang sama, akad pembiayaan kenderaan atau sewa beli merupakan kontrak yang telah dipersetujui kedua-dua pihak. Jika berlaku tunggakan, caj tertentu boleh dikenakan selagi ia adalah kos sebenar dan telah dipersetujui dalam kontrak, bukan sebagai keuntungan tambahan.

Dari sudut syariah, pihak bank atau pemberi sewa juga berhak mengambil kembali kenderaan sekiranya bayaran terus gagal dibuat, kerana kenderaan tersebut masih milik bank sepanjang tempoh pembiayaan. Justeru, langkah terbaik ialah merujuk kepada pihak bank untuk menilai opsyen seperti penstrukturan semula bayaran sekiranya benar-benar menghadapi kesempitan kewangan supaya dapat mengelakkan tindakan penarikan semula mengikut perjanjian.

Soalan Kedua:

Asas utama dalam kontrak yang melibatkan dua pihak ialah kedua-dua pihak pemilik dan penyewa mesti saling berlaku adil, telus, dan tidak menzalimi antara satu sama lain serta mematuhi perjanjian yang telah disepakati semasa proses menandatangani perjanjian dibuat. Allah SWT berfirman dalam surah Surah al-Maidah ayat 1:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ 

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

Ayat ini menunjukkan kewajipan menunaikan perjanjian sewa termasuk syarat-syarat yang dipersetujui. Namun dalam masa yang sama, Islam melarang kezaliman. Firman Allah dalam surah Hud ayat 85:

وَلَا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ 

Maksudnya: dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya.

Oleh yang demikian, jika berlaku tunggakan, caj boleh dikenakan sekiranya ia adalah kos sebenar (ta’widh) seperti kos penghantaran notis, kos pentadbiran yang terbukti, atau kerosakan sebenar. Caj tambahan yang bertujuan menjadi keuntungan atau penalti yang melampau tidak dibenarkan kerana menyerupai riba. Manakala dalam isu ‘Blacklist’  ia termasuk dalam sebahagian mekanisme pengurusan risiko, sekiranya klausa tersebut telah dimasukkan dalam perjanjian yang dipersetujui kedua-dua pihak, maka ia harus.

Soalan ketiga:

Setiap umat Islam yang terlibat dengan apa-apa kontrak dan perjanjian sewajarnya memahami hak dan tanggungjawab masing-masing, memastikan tiada unsur riba atau syarat yang menzalimi, serta mengetahui apa yang berlaku jika bayaran gagal dibuat. Jika pemberi sewa telah menjelaskan syarat-syarat ini dengan terang dalam perjanjian, maka ia memenuhi tuntutan syarak selagi isi perjanjian tidak bertentangan dengan syarak. Namun dari sudut amanah dan etika, adalah lebih baik jika penerangan diberikan dengan bahasa yang mudah supaya penyewa benar-benar faham apa yang mereka persetujui. Jika penyewa menandatangani tanpa memahami langsung isi perjanjian, akad itu sah pada zahirnya, tetapi tidak begitu baik dari sudut etika muamalat Islam.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 2

message user image