Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan Mufti.
Saya telah mendapat jawapan dari pihak mufti tentang riba pada 25/11/2025. Disini saya ada beberapa soalan diatas jawapan dari pihak mufti.
Jawapan dari pihak mufti
Perbankan Islam menggunakan nama produk pembiayaan seperti hire purchase i, Arif hire purchase i, CIMB Islamic hire purchase i yang merupakan pembiayaan berteraskan Syariah. Namanya sahaja dikomersialkan begitu, tetapi pembiayaan ini menggunakan konsep Ijarah (Sewa) dan diikuti oleh Bai' (Jual) yang juga dikenali sebagai Ijarah Thumma Al-Bai (AITAB). Ia berbeza dengan bank konvensional yang menggunakan pembiayaan sewa beli yang dikenakan caj dan faedah (bercampur riba).
persoalan :
1. pihak mufti ada mengatakan namanya sahaja dicommercialkan begitu, tetapi pembiayaan menggunakan syariah. Cume disini apa perbezaan conventional & Islamic secara zahir ?
Saya bagi Contoh situasi jika interest rate conventional lebih rendah dari islamic.
Conventional Rate : (Fixed Rate)
loan kereta : RM100,000.00
interest rate : 2.30%
tempoh pinjaman : 9 tahun
bulanan : RM1,117.59 @ RM1,117.60
islamic Rate : (Fixed Rate)
Financing Amount : RM100,000.00
Profit Rate : 2.40%
Tempoh Financing : RM1,125.93 @ RM1,125.90
Kalau pihak mufti Kira disini, islamic finance lebih tinggi berbanding conventional iaitu RM8.30.
Adakah conventional financing dikira riba juga walaupun bulanan dua-dua kena bayar cuma dengan cara akad yang berbeza ? Secara zahir kita keluar dari duit poket sendiri.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan.
Status penentuan patuh syariah dibuat berdasarkan penelitian terhadap jenis produk dan juga kaedah yang digunakan dalam akad tersebut. Dalam konteks pembiayaan kenderaan, walaupun namanya kadang-kadang mirip seperti produk konvensional, perbezaan utama terletak pada cara akad dibuat. Pembiayaan Islam menggunakan Ijarah Thumma al-Bai’ (AITAB), iaitu gabungan sewa dan jual beli, manakala pembiayaan konvensional menggunakan pinjaman beserta faedah (interest) yang mengandungi unsur riba.
Perbezaan ini bukan pada jumlah bayaran bulanan sahaja, tetapi pada hakikat akad. Dalam kaedah pembiayaan Islam, bayaran bulanan adalah keuntungan hasil jual beli dan sewa, bukannya faedah pinjaman. Oleh itu, walaupun kadang-kadang bayaran Islamik sedikit lebih tinggi, ia tetap halal, manakala pembiayaan konvensional tetap mengandungi riba walaupun jumlah bulanan nampak hampir sama.
Perbezaan lain antara produk konvensional dan jugak produk patuh syariah adalah pada objek transaksi antara pihak bank dan juga pelanggan, dalam produk konvensional objek transaksi yang diniagakan adalah wang yang dipinjamkan kepada pelanggan, manakala bagi produk patuh syariah objek transaksinya adalah kereta yang dibeli oleh bank dan kemudian disewakan kepada pelanggan.
Oleh yang demikian, walaupun jumlah bayaran bulanan pembiayaan Islamik dan konvensional nampak hampir sama, hakikatnya tetap berbeza dari sudut syariah. Pembiayaan Islamik adalah berdasarkan akad jual beli dan sewa (Ijarah Thumma al-Bai’), jadi bayaran yang sedikit lebih tinggi tetap halal kerana ia keuntungan dari akad, bukan faedah. Pembiayaan konvensional pula menggunakan akad pinjaman dengan faedah, dan itulah yang dikira riba walaupun secara zahir kita hanya membayar dari poket sendiri. Jadi, yang menentukan halal atau haram bukan pada jumlah yang dibayar, tetapi pada jenis akad yang digunakan.
Sekian, terima kasih