Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, maaf bertanya, sudah berbulan-bulan saya hairan, ketakutan dan saya rasa seperti tidak jujur selama ini, saya khuatir yang saya pernah terlafaz seorang diri cuma yang menghantui saya sama ada lafaz tersebut ada sebut penerima atau "kau" atau nama isteri. Saya tidak berniat langsung, tidak bergurau, saya cuma berbicara seolah bercakap pada diri sendiri apa lafaz yang boleh jatuh tetapi ketika itu saya tidak berpengetahuan bahawa lafaz walaupun tanpa kehadiran isteri masih boleh menyebabkan jatuh. Saya sering cuba ingat balik kalau betul ada lafaz, adakah saya sebut 1 atau 3.
Bila cuba ingat balik, betul ke keluar suara ketika itu? Saya ada dengar ke lafaz tersebut? Ayatnya mana satu? Saya bimbang tak pasti apa sebenarnya ayat disebut ketika itu, sebagai contoh adakah saya ada sebut (Saya masih tertanya-tanya mana satu lafaz yang betul) :-
1. Aku ce*** tal** 1 (atau 3) - disini tiada sebut penerima/khitob
2. Aku ce**** "kau" tal** 1 (atau 3) - pada pendapat saya sekiranya sebut "kau" tetapi tidak ditujukan kepada isteri dikira tidak sah atau tidak sabit
3. Aku ce*** "nama isteri" dgn tal** 1 (atau 3)
4. Ce*** tal** 1 (atau 3) - disini tiada perkataan Aku
5. Kalau aku ce*** tal** 1 (atau 3) - ada ayat "kalau"
Tuan, saya minta maaf kerana mengelirukan dan menyusahkan keadaan. Saya jadi hairan apa sebenarnya yang terlafaz ketika berseorangan itu. Saya sudah pun buat pengesahan di mahkamah namun kes tidak sabit/ditolak. Saya masih cuba memastikan ayatnya, saya fikir kadang2 rasa seperti sebut tal** 1 tapi takut rupanya 3 atau sebaliknya?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan :
1. Mahkamah telah menolak pengesahan yang telah difailkan oleh tuan, bermaksud talak tidak berlaku. Tuan hendaklah yakin dengan keputusan yang telah diputuskan oleh mahkamah kerana pihak mahkamah sudah pasti memutuskan sesuatu hukum berdasarkan hujah dan alasan yang munasabah pada syarak.
2. Dalam menangani masalah perasaan was-was atau perasaan syak dan ragu-ragu, Islam tidak menetapkan sesuatu hukum berdasarkan rasa syak, ragu-ragu, sangkaan atau tidak pasti. Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 36:
Maksudnya: Sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran.
Begitu juga kaedah fiqh yang mengatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan syak (keraguan).
Oleh itu, seandainya seseorang itu tidak pasti sama ada berniat talak ataupun tidak ketika melafazkan perkataan talak atau tidak atau dia sendiri tidak pasti lafaz atau perkataan apa yang diucapkan, maka ia tidak memberi apa-apa kesan kepada ikatan perkahwinan. Perkahwinan masih sah.
Dalam perkara ini, tuan perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar diberi kekuatan untuk melawan perasaan was-was serta sibukkanlah diri dengan kerja yang sedia ada dan berpahala dan perbanyakkan zikir agar tidak banyak masa dan ruang kosong yang membolehkan syaitan membisikkan perkara-perkara yang tidak baik dan sebagainya.
Sekian terima kasih