BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan Mufti / pihak Pejabat Mufti Selangor.

Saya ingin bertanya mengenai hal wuduk ketika mengqada’ solat.

Sebagai situasi:

Selepas saya menunaikan solat fardu Subuh, saya mengqada’ solat Subuh saya yang tertinggal. Kemudian, saya ingin mengqada’ solat Zuhur pula.

Persoalan saya ialah:

Adakah saya diwajibkan untuk mengambil wuduk yang baharu bagi mengqada’ solat Zuhur tersebut kerana ia dilakukan di luar waktunya?

Atau adakah dibolehkan untuk menggunakan wuduk yang sama selagi tidak terbatal?

Terima kasih atas perhatian dan jawapan pihak Tuan Mufti.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Secara asasnya, solat-solat yang tertinggal merupakan hutang kepada Allah SWT yang berada dalam tanggungan seorang hamba. Oleh itu, ia wajib ditunaikan secara qadha, sebagaimana hadis daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دَيْنُ الله أحقُّ بالقَضاءِ

Maksudnya: Hutang kepada Allah lebih berhak untuk dilunaskan. (Riwayat al-Baihaqi) 

Justeru, pelaksanaan solat qadha adalah sah pada bila-bila masa, dan disunatkan agar ia ditunaikan mengikut tertib.

Di samping itu, solat qadha juga sah ditunaikan dengan menggunakan wudhu yang diambil untuk solat fardhu sebelumnya, selagi diyakini wudhu tersebut tidak terbatal. Hal ini kerana satu wudhu boleh digunakan untuk menunaikan beberapa ibadah yang mensyaratkan wudhu, tanpa perlu memperbaharuinya bagi setiap solat. Perkara ini dijelaskan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, bahawa:

فَإِذَا نَوَاهَا فَقَدْ نَوَى غَايَةَ الْقَصْدِ، وَشَمِلَ إطْلَاقُهُ مَا لَوْ نَوَى اسْتِبَاحَةَ صَلَاةٍ مُعَيَّنَةٍ كَالظُّهْرِ فَإِنَّهُ يَصِحُّ لَهَا وَلِغَيْرِهَا، وَإِنْ نَفَاهُ عَلَى الْأَصَحِّ كَأَنْ نَوَى اسْتِبَاحَةَ الظُّهْرِ وَنَفَى غَيْرَهَا؛ لِأَنَّ الْحَدَثَ لَا يَتَجَزَّأُ  كَمَا مَرَّ.

Maksudnya: Jika dia telah berniat untuknya (ibadah-ibadah yang memerlukan kepada wudhu), maka dia telah berniat dengan sempurna. Niatnya secara mutlak tersebut turut merangkumi apa sahaja ibadah yang mensyaratkan wudhu tertentu, contohnya jika dia berniat wudhu untuk membolehkan dia mendirikan solat tertentu seperti solat Zohor, maka ia sah untuk solat itu dan ibadah selainnya walaupun dia menafikan ibadah yang lain tersebut mengikut pandangan yang lebih sahih seperti dia berniat wudhu untuk solat Zohor dan menafikan ibadah yang lain. Hal ini kerana hadas tidak terasing antara satu sama lain sepertimana yang telah diterangkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 2

message user image