Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya bekerja di syarikat swasta yang dimiliki oleh orang bukan Islam. Di dalam pejabat saya tidak ada ruang solat khas, tetapi pekerja muslim dibenarkan untuk menggunakan bilik mesyuarat untuk menunaikan solat. Akan tetapi di dalam bilik mesyuarat terdapat sebuah peti ais yang mengandungi alkohol (disimpan oleh bos dan pekerja bukan islam. Saya ingin pengesahan apakah hukum bagi kami yang menggunakan bilik mesyuarat tersebut untuk menunaikan solat?
Terima kasih.
Jawapan
Solat adalah kewajipan mutlak yang mesti ditunaikan dalam apa jua keadaan, tidak boleh ditinggalkan walaupun dalam keadaan yang kesempitan, malah berdosa jika meninggalkannya.
pandangan majoriti ulama, menyatakan bahawa hukum solat di dalam bilik atau tempat yang terdapat arak (minuman keras) adalah sah, selagimana syarat-syarat sah solat dipenuhi, terutamanya:
tempat solat mesti suci (bersih dari najis). Walaupun arak itu sendiri dianggap najis oleh majoriti ulama, namun jika botol arak itu tertutup rapat dan arak tersebut tidak tumpah atau terkena pada tempat solat atau pakaian, maka tempat solat dan pakaian adalah suci.
Sekian, terima kasih.