BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya menggunakan aplikasi cari kiblat untuk solat di luar negara. Pada awalnya saya yakin dengan kiblat tersebut. Tetapi selepas 11 bulan saya menggunakan aplikasi tersebut dan mendapati kiblat salah lebih kurang 30 hingga 40 darjah. Saya tidak pasti sama ada ralat atau kecuaian sendiri. Saya ada terbaca selagi kesalahan dalam lingkungan 45 darjah masih dimaafkan. Adakah perlu ganti solat? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan tuan, solat yang dilakukan sebelum menyedari kesilapan arah kiblat adalah sah dan tidak perlu diqadha/ diganti. Ini kerana pada waktu itu, tuan mengerjakan solat berdasarkan aplikasi penunjuk arah kiblat yang sedia ada, dan tuan yakin serta tidak meragui arah tersebut. Dalam Islam, jika seseorang mengerjakan solat dengan ijtihad atau sangkaan kuat terhadap arah kiblat seperti berpandukan tanda atau maklumat yang dipercayai, maka solatnya tetap sah sekalipun kemudian baru diketahui arah tersebut salah. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh iaitu: 

لَا يُعَدُّ الْخَطَأُ فِي الِاجْتِهَادِ

Maksudnya: Kesilapan dalam ijtihad tidak dikira (sebagai dosa atau menjejaskan kesahihan amal).

Berdasarkan kaedah ini, apabila seorang yang layak atau mempunyai asas untuk berijtihad telah berusaha mencari kebenaran dan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang ada (seperti arah kiblat), maka jika berlaku kesilapan, ia tidak menjejaskan ibadat yang dilakukan.

Sehubungan itu, tidak dikira kesilapan dalam ijtihad jika ia dilakukan dengan usaha dan tanpa unsur sengaja. Oleh itu, tuan hanya perlu teruskan solat mengikut arah kiblat yang betul selepas mengetahuinya, dan tidak perlu menggantikan solat-solat yang terdahulu. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 2

message user image