Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t
Berbulan yang lepas, saya dan suami ada dengar tentang perceraian secara taklik seorang pelakon melalui radio. Setelah itu, saya ada cakap dekat suami seperti berikut :
isteri : Isteri pertama dia dulu pun kena tangkap khalwat jugak. Macam mana la suami dia hadap.Kalau saya macam tu, abang macam mana?
suami : kalau awak macam tu, abang bagi talak 3 terus.
Sekarang saya teringat balik dan bertanya suami, ingat tak dulu pernah cakap seperti di atas. Suami saya cakap, seingat abang, abang tak pernah tuju dekat awak pun. Abang cakap kalau abang di tempat suami perempuan tu, abang bagi talak 3 terus. Bila dengar cakap suami saya, saya mula rasa was2 dengan ingatan saya dan suami cakap dia tak pernah terfikir untuk memberi taklik.
Pertanyaan saya, adakah suami menjatuhkan taklik kepada saya?Ingatan saya sudah jadi samar2 dan menggangu fikiran.
Sekarang ni saya tinggal bersama mertua dan adik ipar lelaki.Adik ipar lelaki saya adalah seorang OKU yang ada penyakit sawan dan boleh dikatakan tidak sempurna akal. Adakah saya dikira berkhalwat apabila mertua dan suami tiada di rumah.
Mohon penjelasan dari pihak mufti.
Terima Kasih.
Jawapan
1. Persoalan puan berkaitan bercerita tentang talak, maka ia tidak jatuh talak. Syeikh Zakariya Al-Ansori menyatakan bahawa tidak termasuk dari talak adalah bercerita tentang talak orang lain, dan penjelasan talak seorang ahli fiqh, dan panggilan dengan kata "Taliq" (orang yang dicerai) bagi wanita yang bernama Taliq.
Kesimpulannya tidak jatuh talak kepada isterinya jika seseorang itu menceritakan berkaitan talak orang lain seperti mana yang dinyatakan di atas.
2. Dua syarat utama khalwat dalam qaul muktamad adalah :
a) Berlaku antara lelaki dan perempuan ajnabi
b) Kedua-duanya melakukan maksiat dan kemungkaran
Oleh yang demikian, dalam konteks persoalan puan jika adik ipar puan :
mempunyai kecacatan dan tidak sempurna akal,
tidak berkeupayaan mengawal diri,
tidak berfungsi secara normal sebagai lelaki dewasa,
maka tidak berlaku khalwat antara puan dan adik ipar puan.
Sekian terima kasih.