BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz Sy nak tanya persoalan berkenaan perkara di bawah..

1. Ketika saya dlm perjalanan ke brazil sy perlu singgah/transit di lapangan terbang Mesir. Memandangkan waktu transit yang agak singkat. Setiap check point diteliti oleh askar/pegawai lapangan terbang. Rupanya mereka menunggu 'duit kopi' yang mana menjadi kelaziman utk mereka terima sebelum mereka lepaskan passengers ke checkpoint seterusnya. Apa hukumnya pasangan saya memberi kepada askar tersebut kerana terdesak? 

2. Jika seorang suami mengatakan "baik, saya nyatakan hasrat kepada ibu awak untuk kita pisah" . Soalan Sy, adakah perlu saya perlu melakukan pengesahan perceraian di mahkamah syariah? Akan tetapi suami tidak pun berjumpa dengan ibu saya.

3. Adakah hukumnya seorang isteri tidak bersetuju dengan keputusan suami sebagai rakan kongsi syarikat untuk menangguhkan bayaran hutang yang melebihi masa hampir 10 tahun kepada banyak pihak. Apabila dibangkitkan si isteri dipisahkan tempat tidur dan tidak digauli dengan baik. Apabila isteri mengingatkan pada suami, suami akan berjanji akan membayar apabila projek masuk. Akan tetapi bila projek masuk, staf baru pula yang dibawa masuk dan hutang tersebut ada yang dilunaskan ada yang ditangguh lagi bayarannya. Ini menjadikan si isteri tidak merasa tenteram dan tenang di rumah kerana merasa zalim kepada org yang tidak menerima bayaran tersebut oleh kerana nama isteri masih menjadi rakan kongsi. Apabila si isteri mohon untuk meletakkan jawatan si suami akan merasa marah dan tidak menegur isteri seperti biasa. Apakah si isteri dikira sebagai isteri derhaka kerana tidak mahu mengikuti kehendak suami?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Semoga puan sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT. Jawapan bagi persoalan yang diajukan adalah seperti berikut: 

1. ‘Duit kopi’ yang diberikan dalam situasi tersebut tidak dikira sebagai rasuah daripada pihak pemberi, sebaliknya ia dilakukan atas dasar paksaan (ikrah) dan ketiadaan pilihan. Dalam keadaan ini, perbuatan tersebut termasuk dalam perkara yang dimaafkan oleh syarak apabila terdapat keperluan mendesak, khususnya bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar terhadap keselamatan diri. Oleh itu, sekiranya tiada alternatif lain untuk membolehkan puan dan suami melepasi sekatan (checkpoint) tersebut serta wujud kebimbangan berlakunya ancaman atau bahaya, maka perbuatan tersebut dibenarkan sekadar keperluan. Namun demikian, puan dan suami hendaklah memperbanyakkan istighfar dan memohon keampunan kepada Allah SWT, serta tidak menjadikannya sebagai kebiasaan atau pilihan selesa.

2. Bagi situasi ini, lafaz yang disebutkan oleh suami adalah bersifat cadangan atau hasrat untuk berpisah, ia tidak memberi apa-apa kesan kepada hubungan puan dan suami.

3. Hutang yang tidak ditetapkan tempoh perlu dilangsaikan segera kerana harta yang menjadi milik seseorang perlu dikembalikan atau diserahkan kepada pemiliknya. Konteks yang dimaksudkan termasuklah wang dipinjam daripada orang lain, atau bayaran yang perlu diserahkan kepada pihak tertentu sebagai upah bagi tugasan yang berjaya dilaksanakan. Oleh itu, dalam keadaan ini isteri tidak dikira derhaka atau nusyuz terhadap suami kerana hakikat nusyuz ialah seorang isteri tidak mentaati suami dalam perkara yang dibenarkan syarak melalui akad nikah, seperti keluar rumah tanpa kebenaran suami, tidak mengikuti suami berpindah apabila diajak melainakan jika suami bersetuju, dan sebagainya. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 17

message user image