Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan.
Saya ada pertanyaan mengenai pekerjaan sebagai personal driver.
Latar belakangnya, saya bekerja sebagai personal driver untuk bos Jepun.
Untuk isu seperti ini, apa hukumnya?
1) Situasi pertama, semasa perjalanan pulang ke rumah bos, bos minta berenti di kedai beer untuk membeli beer. Bos sendiri pergi membeli beer, dan mengangkatnya masuk ke kereta. Dan bila sampai di rumah, bos sendiri yang mengangkatnya ke rumahnya.
2) Untuk situasi kedua, situasi sama macam situasi 1, tetapi bila sampai di rumah, bos meminta driver mengangkat beer itu masuk ke dalam rumahnya.
3) Situasi ketiga, selepas beli beer, bila sampai ke rumah, bos terlupa untuk mengangkat beer yang di beli lalu menelefon driver untuk mengangkat beer itu ke dalam rumahnya.
4) Jika driver sudah beritahu kepada bos bahawa driver tidak boleh mengangkat beer tersebut, tapi bos bertegas meminta tolong untuk menghantarnya ke dalam rumah. Apa penyelesaian terbaik?
Saya berharap persoalan saya ini terjawab dan juga solusi yang boleh saya ambil.
Terima kasih untuk perhatian dari pihak Tuan/Puan.
Jawapan
Secara umumnya, bekerja sebagai seorang pemandu peribadi (personal driver) adalah diharuskan di dalam Islam, selagi mana tugasan yang diberikan tiada penglibatan secara langsung dalam perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak.
Merujuk kepada pertanyaan yang dikemukakan, minuman keras (arak/khamr) bukan sahaja diharamkan dari sudut meminumnya, bahkan pengharaman itu termasuk segala bentuk aktiviti yang menyokong, membantu atau memudahkan penghasilan, pengedaran dan pengambilannya turut dilarang di dalam Islam.
Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA menyebut:
Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat sepuluh orang yang berkaitan dengan arak. Yang memerah, yang meminta perah, yang minum, yang membawa, yang dibawa kepadanya, yang menuangkan arak, yang menjual, yang memakan hasil jualan arak, yang membeli dan yang dijual untuknya. (Riwayat al -Tirmizi)
Hadis ini jelas menunjukkan larangan apa-apa perkara atau perbuatan yang berkaitan secara langsung dengan arak. Oleh itu, Tuan tidak dibenarkan membawanya walau apa cara sekalipun, berbincanglah dengan pihak majikan secara serius berkaitan perkara ini. Jika tiada cara lain untuk menangani perkara ini, maka mencari pekerjaan yang lebih diberkati dan tidak terlibat dengan arak adalah lebih baik.
Sekian, terima kasih.