Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya Dan suami pernah beselisih faham. Waktu tu saya ada berkawan dengan lelaki sama tempat kerja. Apabila suami tahu dia ada bagi Whatsapp menyatakan 'kalau awak ada berjumpa dia lagi atau bercakap dengan dia akan jatuh talak'. Tapi lepas tu kami selesaikan masalah kami Dan berbaik semula. Saya jugak telah delete Whatsapp tu segera lepas saya baca. Kemudian saya masuk kerja Dan mintak izin dengan suami kerana perlu berjumpa dan bercakap dengan lelaki yang dimaksudkan kerana urusan kerja. Dan suami saya izinkan. Dia ada beritahu yang sewaktu dia tulis Whatsapp tersebut dia dalam keadaan marah Dan tiada niat langsung untuk berpisah. Bagaimana dengan status saya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, ayat yang ditaip oleh suami menerusi aplikasi Whatsapp iaitu : 'kalau awak ada berjumpa dia lagi atau bercakap dengan dia akan jatuh talak', boleh dikategorikan sebagai ayat khabari (perkhabaran) iaitu suami memaklumkan menerusi aplikasi Whatsapp bahawa sekiranya isterinya ada berjumpa atau bercakap dengan lelaki tersebut akan jatuh talak. Justeru, talak belum berlaku. Sekiranya puan ingin mendapatkan penjelasan lanjut, boleh kemukakan perkara ini ke pihak Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk pengesahan status puan.
Sekian, terima kasih.