Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asalamualaikum tuan/puan. Saya dan isteri telah bercerai. Isteri masih dalam tempoh idah sehingga januari 2026. Bekas isteri keluar rumah untuk tujuan selain bekerja. Pergi tengok wayang, karaoke sehingga lewat malam. Keluar berduaan dengan lelaki lain. Saya pernah tegur untuk tunggu sehingga waktu iddah habis, tapi tidal dipedulikan dengan alasan iddah itu hanya dikira jika dia bersedih atas penceraian, tetapi dia tidak bersedih langsung dengan penceraian kami. Dan dia juga mengaibaikan larangan bermekap dan berwangi wangian.Jadi apa yang boleh saya buat, sekiranya teguran tidak dipedulikan
Jawapan
Penetapan sesuatu hukum oleh syarak perlu dipatuhi oleh seorang wanita yang sedang berada dalam tempoh `iddah supaya kehidupan mereka selari dengan tuntutan Islam dan mengelakkan berlakunya sebarang fitnah serta tohmahan yang tidak diingini. Firman Allah SWT dalam surah al-Talak :1
Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan `iddahnya, dan hitunglah masa `iddah itu (dengan betul), serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai `iddahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan sesudah itu sesuatu perkara (yang lain).
Menjawab persoalan saudara, jika teguran, nasihat dan peringatan telah saudara lakukan untuk mencegah perbuatan tersebut, maka terpulanglah kepada bekas isteri menanggung dosa atas perlakuan yang dia sendiri lakukan. Firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 164:
Maksudnya : "Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)"
Sekian, terima kasih.