Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum ustaz. Saya ingin bertanya mengenai hukum. Ayat ini telah ditulis didalam pesanan ringkas seperti whatsapp oleh suami kepada saya.
1. "Aku haramkan kau keluar , kalau keluar kau tu aku tinggalkan" (persoalan saya , bolehkah saya keluar?)
2. "kalau aku tak boleh jadi bapak , baik kita bercerai saja" (apakah ayat ni dikira taklik?)
3. "Baik kita berpisah secara baik saja?"
Terima Kasih Ustaz
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan, mana-mana perkataan atau ayat yang mengandungi makna talak yang ditulis melalui aplikasi whatsapp dalam bentuk kitabah atau tulisan dan yang seumpama dengannya adalah dikira sebagai lafaz talak dalam bentuk kinayah atau kiasan iaitu lafaz yang tergantung kepada niat suami ketika menulis perkataan tersebut, seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak namun sebaliknya seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.
Walau bagaimanapun sekiranya suami menulis ayat atau perkataan tersebut sambil melafazkannya secara jelas dan didengari oleh suami lafaz tersebut, maka ia menjadi talak yang sorih atau jelas, di mana walaupun suami tiada berniat menceraikan isterinya, maka talak akan jatuh. Dalam perkara ini, puan boleh mendapatkan kepastian daripada pihak suami, adakah ketika beliau menaip ayat tersebut diiringi dengan niat untuk menceraikan isterinya atau sebaliknya.
Walau bagaimanapun, memandangkan pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sekian terima kasih