BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya ada meletak taklik terhadap isteri saya. "Saya janji saya lepaskan awak lepas awak dapat kerja". Adakah jatuh talak selepas dia dapat kerja?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد

Nabi SAW  menegas di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak)(Riwayat Abu Daud).

Hadis di atas jelas menunjukkan larangan untuk tidak bermain-main dalam tiga perkara tersebut, terutama dalam urusan yang melibatkan talak kerana ia boleh menyebabkan kepada terputusnya hubungan perkahwinan antara suami dan isteri. Suami hendaklah senantiasa berhati-hati dalam menuturkan perkataan terutama ketika berlakunya salah faham atau perselisihan faham antara pasangan, agar tidak berlaku pertikaian di kemudian hari.

Taklik adalah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya perlanggaran terhadap apa yang disyaratkan itu.Taklik bermaksud: menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan oleh suami, isteri atau orang lain, maka berlakulah penceraian, seperti perkataan tuan meletak taklik terhadap isteri saya. "Saya janji saya lepaskan awak lepas awak dapat kerja"

Walau bagaimanapun, jika timbul pertikaian antara suami atau isteri, terutama berkaitan kesahihan lafaz taklik atau pertikaian terhadap berlaku atau tidak pelanggaran terhadap syarat taklik tersebut, maka tuan dan isteri hendaklah hadir ke Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan kadar segera untuk membuat pengesahan berhubung lafaz taklik dan perlanggaran syarat taklik yang mungkin berlaku. Suami perlu memberi keterangan tentang apa yang dilafazkan dan isteri pula tidak wajar berdiam diri sekiranya wujud keraguan dan pertikaian terhadap pelanggaran syarat taklik tersebut.

Oleh yang demikian, sedikit nasihat untuk kita semua, dalam melayari bahtera rumahtangga pasangan suami isteri hendaklah berusaha sedaya upaya menyemaikan rasa toleransi, selalu bermusyawarah, banyakkan bersabar serta berfikir sebelum bertindak. Toleransi, sabar, fikir dan syura (bermusyawarah) adalah ramuan yang sangat ideal bagi memastikan perjalanan rumahtangga dapat dilalui dengan penuh tertib dan harmoni. Tiada siapa yang boleh mendabik dada mengatakan rumahtangga mereka bahagia sepanjang masa, pasti akan ada ujian yang akan dilalui oleh mana-mana pasangan yang berumahtangga. Namun apa yang membezakan antara satu sama lain adalah bagaimana mereka bertindak dalam menangani ujian dan permasalahan yang berlaku itu.  

Menjawab persoalan saudara, lafaz suami iaitu : "Saya janji saya lepaskan awak lepas awak dapat kerja" adalah lafaz yang berbentuk khabari (perkhabaran) iaitu suami memaklumkan bahawa dia berjanji kalau isteri dapat kerja, suami akan melepaskan isterinya. Justeru, sekiranya isteri dapat kerja, suami boleh melafazkan talak kepada isterinya sepertimana yang dia janjikan. Sekiranya suami tidak mahu melafazkan talak, maka tidaklah jatuh talak ke atas isteri tetapi suami berdosa kerana telah melanggar janji @ ikrar yang dia lafazkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 34 : 

وَأَوۡفُوا۟ بِٱلۡعَهۡدِۖ إِنَّ ٱلۡعَهۡدَ كَانَ مَسۡـُٔولࣰا

Maksudnya : “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia). Sesungguhnya perjanjian itu akan dipertanggungjawabkan”

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 12

message user image