BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum, ustaz. 
 

Saya seorang isteri dan juga seorang ibu. Situasi saya seperti ini ustaz. Suami saya dan saya sekufu dari segi pendidikan dan kerjaya. Tetapi, terdapat jurang dari segi latar belakang sosial dan keluarga. Akan tetapi, suami saya tetap cuba memberikan segala yang terbaik untuk saya, dengan memastikan cara hidup saya yang sama seperti sebelum berkahwin. Oleh itu, kami mempunyai rumah yang agak mewah untuk usia kami, tetapi kami boleh membiayainya. 
 

Walaubagaimanapun, saya berasa kurang senang dengan ibu mertua saya, ustaz. Ibu mertua saya sudahpun berpencen dan menerima pencen. Dan mempunyai bilangan anak lebih dari 5 orang. Ibu mertua mengharapkan anak yang berkerja untuk membiayai anak anak nya yang masih di universiti - dan wang ibu mertua di gunakan untuk membantu adik beradik ibu mertua sendiri. Suami dan saya akan mendapat anak kedua, tetapi ibu mertua masih mengharapkan suami untuk membiayai adiknya tanpa sedikit pun empati untuk persiapan anak kedua. 
 

Di sini saya ingin mendapatkan pandangan ustaz. Suami saya tunaikan nafkah seperti barang rumah dan makanan. Walaubagaimanapun, biayaan tempat tinggal dan pembantu masih dikongsi bersama saya buat masa sekarang. Soalan saya ustaz, adakah suami saya wajib memenuhi segala keperluan saya dan anak, mengikut syarak islam iaitu makanan, tempat tinggal dan juga perubatan, dan hanya memberikan lebih kepada ibu mertua saya, ataupun oleh kerana saya dapat bantu biaya tempat tinggal, jadi tidak merupakan satu masalah buat suami untuk membantu ibu mertua? Terima kasih ustaz. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, secara umumnya seorang suami wajib mengeluarkan nafkah terhadap keluarganya dengan mengeluarkan harta untuk keperluan ahli keluarga seperti makanan dan minuman, pakaian dan tempat tinggal serta selainnya. Hal ini berlandaskan firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 34 :

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

Tanggungjawab menanggung adik-beradik pada asalnya adalah ke atas bapa. Jika bapa tiada atau tidak mampu, beban tersebut beralih kepada waris lelaki yang berkemampuan (asabah) atau ibu jika dia berkemampuan. Seorang abang hanya wajib menafkahi adik-beradiknya sekiranya:

  1. Dia mempunyai lebihan harta setelah memenuhi keperluan isteri dan anak-anak.

  2. Adik-beradik tersebut adalah fakir (tidak mempunyai harta atau pekerjaan).

  3. Bapa tidak mampu atau sudah meninggal dunia.

Ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan daripada Jabir Bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا

Maksudnya: Mulailah dengan dirimu sendiri, maka bersedekahlah (berilah nafkah) untuknya. Jika ada lebihan, maka untuk keluargamu (isteri dan anak-anak). Jika ada lebihan lagi daripada keluargamu, maka untuk kaum kerabatmu. Jika ada lebihan lagi daripada kaum kerabatmu, maka untuk begini dan begini (orang lain di sekelilingmu). Riwayat Muslim)

Secara teknikal dari sudut hukum, sekiranya ibu mempunyai pencen atau sumber kewangan tetap yang mencukupi, beliau dianggap sebagai berkemampuan. Oleh itu, tiada kewajipan mutlak ke atas anak untuk menanggung sepenuhnya perbelanjaan yang pada asalnya mampu ditanggung oleh ibu sendiri.

Dalam masa yang sama, sekiranya ibu memilih untuk bersedekah atau membantu adik-beradiknya, perbuatan tersebut adalah hak dan kelebihan ibu sebagai satu amalan kebajikan yang mulia. Namun begitu, dari sudut syarak, ibu tidak sepatutnya meletakkan tanggungjawab tersebut ke atas anak lelakinya sehingga menyebabkan terjejasnya nafkah wajib isteri dan anak-anak, kerana nafkah mereka adalah amanah dan kewajipan yang perlu didahulukan.

Perlu ditegaskan bahawa perkara ini bukan soal derhaka atau tidak berbakti, sebaliknya berkaitan dengan pengurusan hak dan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh syarak. Seorang anak lelaki tetap dituntut untuk berbuat baik, menghormati, dan membantu ibu sekadar kemampuan, dengan penuh adab dan kasih sayang, tanpa mengabaikan kewajipan utama terhadap keluarga yang berada di bawah tanggungannya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 4

message user image