Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah hukum jual beli emas melalui platform octa fx?
Jawapan
Merujuk kepada soalan, jual beli emas melalui platform octa fx merupakan jual beli emas secara maya. Ia menggunakan platform elektronik seperti yang ditawarkan oleh sesetengah broker forex iaitu pelabur yang mempunyai akaun di sesebuah syarikat forex yang boleh membuat arahan belian dan jualan emas dengan harga semasa, tetapi pelanggan tidak akan mendapat emas fizikal yang dibelinya.
Jual beli emas secara umumnya mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh Syarak, iaitu pihak yang berakad, item pertukaran dan sighah menurut uruf yang diamalkan. Jika suatu transaksi tidak memenuhi salah satu rukun jual beli, transaksi tersebut dianggap tidak sah.
Adapun begitu, hukum forex adalah haram kerana menyalahi hukum syarak dan undang-undang Malaysia. Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) kali ke 98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) melalui platform Elektronik. Muzakarah memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik adalah melibatkan item ribawi (iatu mata wang) dan dari sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay al-Sarf yang perlu dipatuhi syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat khusus bagi Bay al-Sarf.
Oleh itu, berkenaan emas Forex, hukumnya mengambil hukum yang sama dengan forex itu sendiri iaitu tidak dibolehkan. Ia berdasarkan kaedah fiqh:
Maksudnya: Yang mengikut, adalah mengikut (mengambil hukum yang diikutinya)
Tambahan, emas merupakan item ribawi. Oleh kerana emas dan wang adalah item ribawi yang mempunyai illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:
berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad.
Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan
Syarat-syarat tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi.
Sekian. Terima kasih.