Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya bekerja sebagai admin yang bertugas menyediakan hal-hal surat menyurat insurans di syarikat yang menawarkan khidmat insurans untuk kereta. Namun syarikat saya menawarkan insurans yang takaful/islamik dan juga konvensional. Soalan saya, adakah saya perlu berhenti kerja di syarikat itu? Dan bagaimana pula dengan gaji yang diperolehi?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, secara jelasnya insurans konvensional adalah haram dan hukum ini tidak hanya terpakai kepada pelanggan semata-mata tetapi ia juga kepada pekerja yang mencari pendapatan melalui insurans konvensional. Hal ini kerana ia suatu bentuk kerjasama kepada perkara maksiat (dosa) adalah haram dan tidak dibenarkan sama sekali. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Menguruskan kedua-dua jenis produk (takaful dan insurans) boleh membawa kepada risiko percampuran urusan yang halal dan haram. Puan hendaklah berbincang dengan majikan untuk tidak menguruskan bahagian insurans konvensional. Jika tidak dapat berbuat demikian, adalah sebaiknya mencari pekerjaan lain yang tidak terlibat dengan perkara yang bertentangan dengan syarak.
Sekian. Terima kasih.