BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

 

Saya ingin mohon pencerahan. Baru-baru ini ayah saya telah meninggal dunia pada usia 53 tahun. Jumlah simpanan KWSP beliau sekitar RM47,000, hasil daripada pekerjaan beliau semasa muda dahulu. Wang tersebut akan dikeluarkan oleh waris untuk tujuan melangsaikan hutang dan pembahagian faraid.

 

Persoalan saya:

Adakah wang KWSP yang dikeluarkan disebabkan kematian perlu dizakatkan?

Atau wang itu tidak dikenakan zakat kerana ia belum cukup haul atau atas sebab lain?

 

Saya bertanya kerana saya ingin memudahkan urusan arwah di alam kubur dan memastikan semuanya diselesaikan dengan cara yang betul.

 

Terima kasih atas penjelasan yang akan diberikan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, wang simpanan KWSP yang masih dalam akaun KWSP si mati tidak perlu dibayar zakat oleh waris, kerana ia akan dibahagikan mengikut hukum faraid sebagai pusaka. Walau bagaimanapun, jika si mati telah membuat pengeluaran simpanan KWSP sebelum kematiannya, zakat atas wang tersebut adalah wajib dibayar sekiranya simpanan itu melepasi nisab dan haul (tempoh simpanan setahun). FATWA DI BAWAH SEKSYEN 47, Menurut seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [En. 1/2003].

"Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun".

Oleh itu, harta arwah di dalam akaun KWSP perlu difaraidkan berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-49 pada 19 September 2000, wang KWSP adalah harta pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 119

message user image