BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Salam. Sebelum saya bertanya soalan, izinkan saya jelaskan dahulu situasi saya.

Saya telah bernikah pada Nov 2021, pada mulanya hubungan saya dengan keluarga mertua saya baik-baik saja. Walaupun saya rasa agak sukar untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan keluarga mertua, saya abaikan sahaja perasaan itu. Saya baik saja dengan mereka, selalu pergi ke rumah mertua, kalau mereka ada buat makan-makan pon saya hadirkan diri.

Saya sejak kecil memang seorang yang pendiam, semua orang tahu saya seorang yang sangat pendiam. Dan apabila dewasa, saya check dengan psikiatri, dan saya telah didiagnos menghadapi social anxiety. Jadi saya memang ada kesukaran bersosial dengan orang, tambahan lagi dengan keluarga mertua yang saya tak dapat suaikan diri. Saya tak dapat suaikan diri kerana saya taktahu kenapa ahli keluarga mereka, semua orang sangat emosi. Benda kecil pon hendak bertekak. Adik beradik bertekak, ayah dan ibu mertua pon selalu bergaduh, walaupon depan anak menantu.

Saya hiraukan saja semua ni dan baik saja dengan mereka. Suatu hari, kak ipar saya (alang) menelefon beritahu mahu datang ke rumah saya, datang mengejut, dia sudah sampai ketika itu, katanya nak berbincang berkenaan ibu dan bapa mereka. Semasa perbualan telefon tersebut suami saya pon cakap lah, rumah semak, iya la dia datang pon mengejut, selepas itu alang cakap "Semak kenapa macam ada anak 10 je". Saya sedikit terasa kerana saya belum mempunyai anak. Ketika alang dah masuk ke rumah, dia tanya bagaimana nak ambil giliran uruskan kedua ibu bapa mereka, kerana kedua-duanya sudah berusia tapi bapa mertua saya masih sihat, cuma ibu mertua sakit kaki beliau bengkak jadi tidak dapat berjalan. Kaki bengkak tu tak pasti kenapa, kerana taknak pergi rawat di hospital dan hanya berubat cara kampung, dan bomoh (katanya buatan orang, tapi saya tak percaya pada bomoh). Bila disuruh ke hospital, katanya anak-anak nak jalan mudah, tidak mahu menjaga dia.

Alang bgtahu sebelum dia datang ke rumah, dia dari rumah ibu bapa mereka. Katanya ibu menangis sebab katanya anak-anak asyik tanya pasal abah (ketika itu abah demam), katanya anak-anak tidak hiraukan dia. Saya faham orang tua yang sakit sensitif, tetapi pada pemerhatian saya, anak-anak mereka tidaklah abaikan mereka, datang jenguk ke rumah hampir setiap hari, kadang-kadang saya tengok alang datang hantar makanan ke mama abah. Pernah juga, ibu mertua saya hantar mesej dalam group keluarga, buat ayat sedih katanya anak-anak tidak datang menjenguk, tidak mahu buat pahala jaga ibu bapa, sedangkan anak-anak sudah selalu mengambil berat.

Patah balik ke perihal alang datang tadi, selepas dia bercakap berkenaan ibu bapa mereka, dia panggil saya dekat sikit dengan dia katanya ada benda dia nak tanya. Selepas itu dia tanya, "Ana (saya) tak suka keluarga ktorg ke?" Saya terkejut dengan soalan tersebuat kerana walaupun saya tidak dapat menyesuaikan siri, tetapi tidaklah sampai tidak suka kepada mereka. Saya menidakkan solan tersebut. Kemudian alang kata, "Ana senyap je". Saya jawab saya tak ada benda nak cakap, kadang taktahu nak mencelah kerana mereka bersembang tentang persekolahan anak-anak. Alang cakap, "Cakap je apa-apa. Mencelah je bila orang bersembang. Jangan la senyap je". Selepas itu, alang juga cakap, "Nak tegur sikit, alang tegur depan-depan senang, angah dgn mama dok mengata kat belakang, kalau datang rumah abah mama, buat la apa-apa, jangan duduk saja. Taknak nanti jadi macam Kak Ija (biras saya, isteri kepada along), mama call kakak kepada kak ija bgtau kak ija tu perangai macam mana (sedangkan kak ija tu baik saja), alang taknak la nanti mama call mak bagitahu perangai Ana".

Saya abaikan saja kejadian itu walaupun saya sedih, saya masih layan dorg macam biasa, macam takde apa yang berlaku. Banyak lagi perkara-perkara kecil yang saya terasa misalnya, semasa saya mengaggur, angah tetiba sahaja hantar jawatan kosong penjaga kedai. Sedangkan mereka tahu saya mempunyai ijazah dan sedang melakukan master's degree, dan saya sebelumnya bekerja sebagai eksekutif. Selain itu, ibu mertua saya seorang yang tidak lupa wish birthday kepada anak menantu dan cucu. Dia akan jadi orang yang pertama wish birthday kepada birthday sesiapa, dia wish dalam group tahun pertama dan kedua perkahwinan saya, namun pada tahun ketiga saya tahu ibu mertua saya sengaja tidak wish birthday saya dalam group, dan tidak ada seorang pon dari keluarga mereka wish birthday saya pada tahun tersebut. Sejak daripada saya mula rasakan mereka sedikit-sedikit mula memalau saya. Walaupon saya sememangnya sudah rasa dipalau oleh angah dari awal perkahwinan. Untuk pengetahuan, angah tidak pernah bercakap dengan saya sepatah pon sejak saya berkahwin dengan suami saya sehingga sekarang. Malahan, angah sentiasa buat saya seperti tidak wujud dalam keluarga tersebut. Raya tahun lepas, semasa di kampung, angah jalan dan tersepak kaki saya yang sedang duduk bersimpuh, dia sedikit pon tidak mengatakan maaf sebab tersepak kaki saya, dia menonong saja jalan macam tiada apa yang berlaku.

Disember 2024, ibu metua saya tetiba sahaja sakit teruk (mungkin memang dah teruk tapi tak pernah check), lalu dimasukkan ke bahagian kecemasan hospital awal pagi. Sebab dia di bahagian kecemasan, tak boleh masuk melawat. Kebetulan pagi itu, saya ada appointment hospital serdang, selepas subuh itu suami saya pergi ke hospital untuk melihat ibu dia tapi tak dapat masuk, jadi along kata pergi la selesaikan urusan lain dulu (bawa saya ke hospital), kerana mama sedar dan kami tidak dapat masuk. Kemudian, semasa di hospital serdang dan hampir tengahari, mama sudah tidak sedarkan diri. Alang menelefon suami saya dan ktorg terus bergerak dari hospital serdang ke hukm. Kemudian, ktorg tunggu sahaja diluar bahagian kecemasan itu, saya bertanya kepada suami saya, alang cakap apa ke dia masa alang telefon tadi. Suami saya beritahu, alang cakap ingat apa yang mama pesan. Saya tanya apa yang mama pesan. Mama pesan kepada suami saya, apa-apa pun yang berlaku dahulukan mama, baru Ana. Saya sangat sedih ketika itu, saya rasa tidak petut seorang ibu perpesan kepada anaknya begitu, walaupun ada situasi suami saya perlu dahulukan ibu dia, tetapi ada situasi dimana suami saya perlu dahulukan saya dahulu. Saya juga tak pasti kenapa perlu berpesan sebegitu, sedangkan suami saya tak pernah abaikan ibu dia. Cuma ada ketika, ktorg sudah ada plan lain ketika ibu dia call, sebab telah berjanji dengan saya dahulu suami saya akan dahulukan saya dulu. 

Ibu saya terlampau bergantung kepada anak lelakinya kerana dia tidak suka kepada suaminya. Katanya abah angkat mama kasar, abah bawa pergi beli groceries tak best sebab abah jalan laju. Jadi saya dan suami lah yang selalu pergi rumah mama, angkat mama, bawa pergi groceries, taktahu apa yang tidak cukup. Sedangkan hampir setiap hujung minggu kami meluangkan masa di rumah mertua saya, cuma kadang-kadang kami pon mempunyai urusan lain. 

Ditakdirkan ibu mertua saya meninggal pada petang dia dimasukkan ke hospital hari itu. Maaf jika ini kedengaran tidak baik, tapi semasa di emergency itu, saya memang doa supaya Allah ambil ibu mertua saya. Saya sudah terlampau tertekan dengan situasi itu, yang saya buat hanya berdoa supaya Allah mengambil ibu mertua saya. Namun, saya tahu ibu saya pergi kerana ajalnya tiba bukan kerana doa saya. Esoknya, saya dan suami bawa bapa mertua ke kubur mama, bapa mertua saya cakap dia nak tegur beberapa perkara:

1. Bapa mertua saya kata, "Kita ni tak baik bermasam muka sesama adik beradik". Saya taktahu kenapa bapa mertua saya tegur sebegitu sedangkan saya tidak pernah masam muka ketika di rumah mertua, saya senyum saja dan main dengan anak-anak buah. Yang masam muka itu angah anak dia, tapi yang ditegurnya saya.

2. Bapa mertua juga cakap, "Kita ni kena hormat suami walaupun gaji kita lagi tinggi daripada suami". Gaji saya memang lagi tinggi daripada suami, tapi saya tak pernah biadab dengan suami depan orang. Biasa di dalam rumahtangga ada pergaduhan, tetapi kami bergaduh di dalam rumah kami saja, saya tidak pernah biadab dengan suami saya di depan orang. Saya taktahu kenapa dia berpesan begitu, sedangkan isterinya sendiri jerkah dia depan anak menantu. 

3. Dia juga berpesan, "Apa yang kita buat dekat orang, nanti akan jadi dekat kita balik". Seolah apa yang saya buat dekat ibu mertua saya itu, nanti akan jadi dekat saya balik. Saya sejujurnya tidak tahu apa salah saya dekat ibu mertua saya. Adakah sebab saya datang rumah dia duduk saja? Adakah itu salah? Atau sebab suami saya dahulukan pada situasi tertentu? Sedangkan saya lagi banyak terasa, kerana suami lebih dahulukan ibu dia berbanding saya, tapi saya diam saja kerana saya faham ibu dia sakit dan tua.

4. Bapa mertua saya juga asyik sebut berkenaan dengan mama tak sempat tengok anak ktorg. Ditakdirkan ktorg belum ada anak, mahu buat bagaimana lagi. Saya juga tahu alang ada cakap kepada suami saya, tak baik merancang, nanti Allah tak bagi baru tahu. Pernah juga saya bgtahu saya pergi melawat kawan saya bersalin kemudian alang tanya, saya dengan kawan saya tu siapa yang kawin dulu. Saya tahu maksud soalan tersebut, saya kahwin dulu tapi belum mempunyai anak. Saya sedih tapi saya senyum saja. Pernah juga saya dan suami datang lambat ke rumah ibu mertua sebab ada majlis, angah cakap " Datang lambat macam anak ramai je". Saya diam saja. Saya sebenarnya tidaklah merancang, saya menghadapi vaginismus, dan sedang mendapatkan rawatan di hospital. Cuma saya rahsiakan perkara tersebut daripada semua semua orang sebab saya malu. Tetapi sekali pon mereka tidak tahu situasi saya, ayat-ayat dan perkataan yang menyakitkan itu tidak perlu dizahirkan kepada saya.

Saya bersembang dengan biras saya kak ija, katanya keluarga mereka memang suka cari salah menantu perempuan. Sedangkan menantu lelaki tidak apa. Suami kepada alang pon seorang yang senyap juga, tapi saya senyap salah. Suami kepada angah datang makan-makan sekadar tunjuk muka, datang lambat makan dan balik. Itu teidak mengapa pula. Sebab apa? Sebab dia menantu lelaki. Daripda kak ija juga, saya tahu benda-benda lain yang mereka mengata di belakang saya. Contohnya, semasa saya menganggur kereta saya siapa bayarkan? Kemudian perihat suami saya rajin buat kerja rumahnya, katanya kesian kepada suami saya dapat isteri pemalas. Sedangkan di rumah mertua, suami saya buat kerja rumah yang sama, mereka siap arah-arah lagi suami saya suruh buat itu ini, tapi tidak menjadi isu pula.

Banyak lagi perkara yang berlaku, tapi sampai sini saja saya bercerita. Mungkin cerita ini biased sebab saya bercerita di pihak saya. Mungkin ada perkara yang saya buat dan saya tidak sedar lalu membuatkan mereka membenci saya. Perkara-perkara yang saya lalui ini telah menyebabkan saya mengalami depression. Ada ketika saya terpaksa mengambil Lorazepam untuk tenangkan diri.

Sejak dari pertengahan Julai tahun ini, sehingga sekarang saya tidak lagi berhubung dengan keluarga mertua. Saya hanya mesej dengan biras saya, saya tidak lagi berhubung dengan abah, alang dan angah. Saya bukan sengaja tidak mahu berhubung, tetapi saya akan sangat stress dan depressed bila berjumpa. Dengar perkara berkenaan mereka pon membuatkan saya rasa sedih dan marah. Suami tidak memaksa saya untuk berjumpa dengan keluarga dia, kerana mungkin dia tahu bagaimana keadaan saya bila saya depressed.

Soalan saya:

1. Adakah saya berdosa memutuskan silaturahim ini? Saya tiada niat mahu memutuskan silaturahim, tapi tindakan saya memang seakan memutuskan silaturahim. Saya perlu masa untuk sembuh. Saya ada terbaca, tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim, adakah saya masuk kategori ini?

2. Adakah saya dizalimi oleh keluarga mertua?

3. Berdosa ke masa saya berdoa Allah ambil ibu mertua saya?

Terima kasih kerana membaca cerita saya yang panjang lebar ini.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

1. Hadis daripada Abi Muhammad Jubair bin Mut‘im RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعُ رَحِمٍ

Yang bermaksud : “Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan pandangan ulama' yang dimaksudkan dengan pemutus silaturahim ialah orang yang memutuskan hubungan daripada kebaikan dan ihsan, sedangkan dia mampu dan tiada keuzuran dan meninggalkan hubungan atau memutuskan hubungan secara total, dengan sengaja dan berterusan, bukan bersifat sementara kerana mudarat atau sebagainya. Jika dalam meneruskan hubungan atau silaturahim itu terdapat mudarat atau boleh membawa penyakit yang kritikal atau pergaduhan yang besar, maka harus meninggalkannya, bahkan dalam keadaan yang terlalu mudarat ia boleh menjadi hukum wajib.

Oleh yang demikian, dalam situasi yang puan lalui ini maka puan tidaklah berdosa dan puan juga tidaklah termasuk dalam ancaman “tidak masuk syurga kerana memutuskan silaturahim”, atas sebab kemudaratan dan penyakit yang puan hadapi serta ia adalah bersifat sementara sehingga segala rintangan itu dapat diatasi dengan baik. Namun sekiranya menjauhi keluarga itu dengan niat memusuhi mereka, memutuskan hubungan secara sombong dan dendam dan tanpa sebab syarie, maka ia boleh membawa kepada dosa dan kemurkaan Allah SWT.

2. Berdasarkan apa yang puan luahkan di atas, secara sebelah pihak boleh dilihat puan berada di pihak yang dizalimi, namun adalah lebih sesuai sekiranya puan berbincanglah dengan suami dan mana-mana pihak yang dihormati oleh pihak keluarga suami untuk menjadi orang tengah bagi membincang segala persoalan, andaian, pandangan dan kritikan yang menimbulkan kegelisahan kepada pihak puan. Perbincangan ini penting bagi puan dan pihak keluarga suami puan menjelaskan segala persoalan secara jelas, terang dan jujur, agar segala andaian, sangkaan dan sindirin itu dapat difahami dan dijawab dengan jelas dan hikmah.

3. Secara umumnya, dalam Islam tiada dalil yang membenarkan mendoakan orang lain supaya mati cepat. Namun dalil yang ada kebanyakannya menunjukkan larangan berdoa seumpama itu. Walaubagaimanapun, dalam konteks pertanyaan puan ini, puan berdoa dalam keadaan puan yang terlampau tertekan, depression dan menanggung bebanan yang amat berat. Maka doa yang terbit dari luahan orang tertekan, emosi yang tidak stabil dan orang yang rasa tertindas, insya Allah dimaafkan Allah SWT. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Al Ghazali : Orang yang tertekan boleh berkata-kata sesuatu yang bukan daripada kehendak dan pilihannya.

Kesimpulannya, puan banyakkanlah berdoa, bermunajat dan berserah kepada Allah SWT. Yakinlah bahawa Allah SWT mengetahui niat dan keadaan kita dan kebenaran itu pasti akan Allah bantu untuk dizahirkan. Yang penting terus laksanakan tanggungjawab kita kepada Allah dengan baik dan istiqamah serta tanggungjawab sesama manusia dengan baik dan jujur, insya Allah sampai masa dan ketikanya pasti bantuan Allah SWT hadir menceriakan hidup kita.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 4

message user image