Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya dengan suami duduk berasingan atas urusan kerja jadi kami selalu berkomunikasi menggunakan whatsapp. 1 hari tu kami ada salah faham dan suami ada chat saya "Saya lepaskan awak. Saya halalkan makan minum awak" Saya terkejut lalu terus call dia dan tanya apa niat dia sebab setahu saya kalau cakap macam tu boleh jatuh talak. Dia kata dia tak tahu boleh terus jatuh sebab dia cuma nak gertak saya supaya takut. Bukan niat nak ceraikan saya. Saya ada rujuk beberapa ustaz. Semua ustaz cakap itu lafaz kinayah (kiasan) tapi saya masih nakkan kepastian. Adakah jatuh atau tidak ? Adakah saya perlu pergi ke mahkamah ?
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan, mana-mana perkataan atau ayat yang mengandungi makna talak yang ditulis melalui aplikasi whatsapp dalam bentuk kitabah atau tulisan dan yang seumpama dengannya adalah dikira sebagai lafaz talak dalam bentuk kinayah atau kiasan iaitu lafaz yang tergantung kepada niat suami ketika menulis perkataan tersebut, seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak namun sebaliknya seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.
Dan berdasarkan pengakuan suami puan bahawa dia tidak berniat untuk menceraikan isterinya, hanya sekadar untuk mengertak atau menakutkan isterinya sahaja, maka ia tidak menyebabkan jatuhnya talak.
Walau bagaimanapun, memandangkan pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sekian terima kasih