BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan 

Pertanyaan saya berkenaan wali pernikahan. Bagaimanakah maksud yg dikatakan bahawa jika seorang bapa yg tidak solat itu bila menjadi wali nikah maka akad pernikahan anaknya itu tidak Sah?

Dan apakah hukum perkahwinan itu Dan bila mereka sudah ada anak macamanakah status anak tersebut?

Mohon pencerahan dari Tuan. Terima kasih 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan saudara :

Salah satu daripada syarat sah wali adalah wali yang 'adil. 'Adil bermaksud tidak melakukan dosa besar seperti meninggalkan solat, mengekalkan dosa kecil atau mencemarkan maruah diri seperti kencing di jalanan, berada dalam pusat-pusat hiburan, pusat perjudian atau seumpama dengannya. Sifat 'adil ini dilihat secara zahir dan bukannya secara batin. Memadai seseorang itu tidak secara terang terangan meninggalkan solat, tidak berpuasa atau terkenal sebagai peminum arak, maka dia dianggap sebagai 'adil dan dia layak menjadi wali dan sah akad nikahnya.

Dalam konteks pengamalan sekarang, telah menjadi kelaziman bagi Penolong Pendaftar Perkahwinan atau jurunikah, sebelum mereka melaksanakan upacara akad nikah dan bagi memastikan segala syarat-syarat sah perkahwinan itu ditepati dan dipatuhi agar pernikahan itu sah pada hukum syarak, maka Penolong Pendaftar Perkahwinan atau jurunikah akan mengajak semua hadirin terutamanya wali yang akan menjadi wali kepada anaknya untuk bertaubat dengan beristighfar kepada Allah SWT. Ini bagi memastikan wali bersih dari sebarang dosa semasa akad nikah dilangsungkan. Jadi sekiranya sebelum akad nikah wali itu mengikuti jurunikah dengan melafazkan syahadatain dan istighfar maka secara zahirnya dia adalah 'adil. Adapun sekiranya setelah akad nikah dilaksanakan, wali itu kembali melakukan perkara dosa dan maksiat kepada Allah SWT, maka ia tidak menjejaskan pernikahan anaknya yang telah dilaksanakan itu, kerana semasa akad nikah berjalan, kita yakin wali telah beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Hal ini kerana pada zaman sekarang, adalah sukar untuk mencari orang yang tidak fasiq mengikut nilaian fasiq pada zaman dahulu.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 2

message user image