BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, sy ingin bertanya kan soalan.. adik sy dan tunangnya ada masalah utk bernikah atas sebb wali.. bapa tunang nya tidak mahu mewalikan,atas sebab ibu tunang dan adik beradik tidak izinkan mereka berkahwin.jadi tunang nye telah memohon wali hakim mohon di mahkamah dan dah 10x turun naik mahkamah masih tidak ade selesai dan di tangguhkan. Dalam proses bicara mahkamah family nye berusaha untuk memutuskan pertunangan dengan mengacau di tempat kerja dan mengambil maklumat adik yg seorang tentera.. utk makluman tunang nya pernah berkahwin dan kematian suami.. boleh ke mereka tukar dinikahkan dipejabat agama di negeri lain... Urusan mahkamah sekarang adalah di rembau n9... Sekarang mereka dh berbincang untuk menikah di thailand... Kami kalau boleh tak nak disana..mereka usaha buat cara baik .tapi keluarga sana tetap tidak izinkan


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

Wali adalah merupakan salah satu daripada rukun-rukun nikah yang wajib ada bagi memastikan pernikahan itu sah pada hukum syara. Wali juga merupakan orang yang mempunyai hak untuk mengahwinkan anak perempuan di bawah jagaannya dengan syarat-syarat tertentu. Ia adalah atas dasar tanggungjawab bagi ahli keluarganya dan juga hak keistimewaan seorang bapa dalam melaksanakan perkahwinan anaknya sepertimana yang telah dipersetujui oleh majoriti ulama.  

Sekiranya wali itu enggan, pihak perempuan boleh :

1. Membuat aduan di Pejabat Agama Islam Daerah tempat tinggalnya untuk dilaksanakan sesi rundingcara berkaitan keengganan wali ini. Pegawai di Pejabat Agama Islam Daerah boleh untuk memanggil wali untuk proses tersebut sekiranya perlu dan sesuai.

2. Memfailkan kes ini ke mana-mana Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggalnya untuk memohon menggunakan wali hakim.

Memandangkan proses mahkamah sedang berjalan dan sekiranya tunang adik puan ingin bernikah dinegeri lain atau menukar urusan permohonan kahwinnya di negeri lain, maka kes yang sedang berjalan itu hendaklah digugurkan atau dibatalkan. Ini kerana sesuatu kes yang sama tidak boleh berjalan di dua mahkamah yang berbeza. Walaubagaimanapun, proses ini hendaklah dirujuk dengan pihak mahkamah kerana kami tiada kepakaran dan maklumat terperinci berkaitan perkara ini.

Dalam masa yang sama, banyakkanlah berdoa kepada Allah SWT, bermunajat, serta solat sunat hajat dengan penuh ikhlas dan pengharapan, agar Allah SWT melembutkan hati wali untuk bersetuju dan rela untuk mewalikan bagi pernikahan saudara. Sekiranya ada mana-mana orang yang dihormati oleh pihak wali dan keluarganya, bolehlah mereka ini membantu untuk memberikan nasihat dan panduan kepada wali dan keluarganya bahawa ajal dan maut itu adalah urusan Allah SWT dan telah menjadi rahsia ilmu Allah SWT. 

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 3

message user image