BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah/tuan/puan,

a. Hutang kepada isteri

b. Hutang kepada kawan

c. Hutang kepada adik beradik

Soalan saya:-

1. Yang mana seorang suami perlu dahulukan, a, b atau c?

2. Suami hanya memberi RM200-RM300 sebulan kepada sy untuk beli barang dapur, dan dari jumlah itu suami kurangkan lagi kerana alasan nak bayar hutang kawannya, adakah suami dianggap berhutang kepada sy.

Jawapan dari pihak tuan amatlah sy hargai. sekian terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, secara umumnya berdasarkan seseorang yang berhutang itu wajib melunaskan hutangnya tanpa mengira kepada siapa dia berhutang, dalam situasi yang disebutkan, seorang suami wajib mendahulukan hutang yang paling wajib dan tidak boleh ditangguhkan, terutamanya jika ia melibatkan hak isteri. Jika hutang kepada isteri itu berkaitan nafkah yang tertinggal, maka ia perlu diselesaikan dahulu kerana nafkah adalah kewajipan seorang suami. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 233:  

وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya: Dan kewajipan suami memberi nafkah dan pakaian kepada isteri dengan cara yang baik.

Hutang nafkah lebih utama daripada hutang-hutang lain kerana ia termasuk tanggungjawab fardu yang tidak boleh dilewatkan. Dalam hal mengurangkan nafkah untuk membayar hutang lain, suami tidak dibenarkan berbuat demikian kerana nafkah isteri adalah hak yang mesti dipenuhi mengikut kemampuan. Hadith daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash  RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ

Maksudnya: Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya. (Riwayat Abu Daud)

Jika jumlah RM200–RM300 sebulan itu sudah sedia tidak mencukupi, kemudian pula dikurangkan, maka suami dianggap cuai dalam kewajipan asas yang diperintahkan agama. Oleh itu, jumlah nafkah yang dikurangkan untuk membayar hutang lain menjadi hutang suami kepada isteri. Ini selari dengan prinsip bahawa setiap amanah dan hak manusia mesti dikembalikan. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 58: 

إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada ahlinya.

Sehubungan itu, hutang yang melibatkan hak isteri terutamanya berkaitan dengan nafkah perlu diberi keutamaan dalam penyelesaian sebelum hutang kepada pihak lain. Sebaiknya, perlu diadakan perbincangan antara suami dan isteri akan perkara ini supaya persetujuan dapat dicapai tanpa mengenepikan mana-mana pihak.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 67

message user image