Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam. Situasi saya begini. Ibu saya ingin membelikan rumah untuk Nenek saya (ibu kepada ibu saya) duduki. Harga rumah tersebut ialah RM52,000. Selepas dicampur kos-kos berkaitan (seperti yuran guaman, duti setem dan sebagainya), kos yang perlu dikeluarkan mencecah RM57,000 sekiranya rumah tersebut dibeli secara tunai. Nenek saya telah memberikan RM50,000 kepada Ibu saya untuk tujuan pembelian rumah itu. Nenek saya juga tidak meletakkan sebarang syarat khas (seperti rumah tersebut mesti dibeli secara tunai atau tidak boleh dibeli melalui pinjaman perumahan) semasa memberikan RM50,000 tersebut kepada Ibu saya. Jadi, Ibu saya telah memilih untuk membeli rumah tersebut melalui pinjaman perumahan dan memaklumkan kepada Nenek saya yang rumah itu dibeli melalui pinjaman perumahan selepas pembelian dibuat. Ibu saya telah membeli rumah tersebut melalui pinjaman perumahan atas beberapa sebab antaranya kerana jelas duit yang Nenek saya berikan tidak mencukupi dan supaya ada wang tunai di tangan jika keadaan memerlukan.
Jumlah bayaran balik pinjaman bank ialah RM85,000, bermakna kos yang perlu dikeluarkan telah bertambah (menjadi RM85,000) untuk mendapatkan rumah itu. Semasa proses jual beli, Ibu saya hanya meletakkan nama dia seorang sahaja (mungkin kerana Ibu saya terlupa atau tak mahu Nenek saya diganggu oleh pihak bank sekiranya urusan pembayaran tak berjalan lancar dan sebagainya) dalam perjanjian jual beli rumah itu, sedangkan nama Nenek saya seharusnya diletakkan juga sebagai pemilik bersama (kerana Ibu saya dan Nenek sama-sama menyumbangkan modal). Akibatnya, dari sudut undang-undang, Ibu saya ialah pemilik tunggal rumah tersebut. Kini, selepas beberapa tahun Nenek saya meninggal, pinjaman tersebut telah pun selesai dibayar kepada pihak bank iaitu melalui sumbangan modal Nenek saya (RM50,000) dan Ibu saya (RM85000 - RM50,000 = RM35,000) dan rumah itu ingin dijual.
Ibu saya berhasrat untuk membahagikan hasil jualan rumah itu kepada adik-beradik selaku waris faraid apabila ia dijual kelak (kerana menganggap dirinya dan Nenek ialah pemilik bersama walaupun dari sudut undang-undang isu faraid tidak timbul kerana Ibu saya ialah pemilik tunggal rumah itu) kerana pada hakikatnya, rumah itu dibeli melalui pinjaman perumahan yang dibayar menggunakan gabungan sumbangan modal daripada dua pihak iaitu Nenek dan Ibu saya. Namun, untuk tidak merumitkan lagi keadaan (pertambahan daripada segi kos kewangan, proses birokrasi dan masa), Ibu saya dan adik-beradiknya yang lain telah bersetuju untuk mengekalkan status Ibu saya sebagai pemilik tunggal rumah tersebut (mengikut undang-undang) tapi hasil jualan rumah itu kelak akan Ibu saya bahagikan kepada semua adik-beradik mengikut nisbah faraid (tanpa melibatkan undang-undang).
Soalan:
1. Sekiranya Ibu saya memasukkan namanya dan nama Nenek dalam perjanjian jual beli tanpa menetapkan hak pemilikan masing-masing secara spesifik, adakah pemilikan masing-masing atas rumah tersebut secara automatik menjadi 50-50 dari sudut undang-undang dan syarak walaupun sumbangan modal masing-masing untuk menampung kos bagi mendapatkan rumah tersebut bukan 50-50?
2. Bolehkah pemilikan Ibu saya dan Nenek atas rumah tersebut ditetapkan kepada jumlah berbeza, contohnya 70-30 atau 80-20?
3. Bolehkah sumbangan modal masing-masing untuk menampung kos bagi mendapatkan rumah tersebut dijadikan sebagai asas dalam menentukan peratusan pemilikan rumah tersebut agar lebih adil dan saksama kepada kedua-dua pihak (sekiranya kedua-dua pihak bersetuju)?
Contohnya, pemilikan Ibu: (35,000/85,000 x 100% = 41.18%) dan pemilikan Nenek: (50,000/85,000 x 100% = 58.82%)
4. Jika cadangan No. 3 tak dipersetujui oleh semua atau sebahagian daripada adik-beradik Ibu saya, adakah itu bermakna secara automatik hak pemilikan 50-50 perlu digunapakai (jika menurut hukum faraid)?
Sekian, terima kasih. Salam.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan-persoalan yang dikemukakan, pemilikan ibu dan nenek tuan masing-masing ke atas rumah tersebut menjadi 50-50 dari sudut undang-undang sekiranya ibu tuan memasukkan namanya dan nama nenek dalam perjanjian jual beli tanpa menetapkan hak pemilikan masing-masing secara spesifik walaupun sumbangan modal masing-masing untuk menampung kos bagi mendapatkan rumah tersebut bukan 50-50. Walau bagaimanapun, dari sudut hukum syarak, pembahagian pemilikan masing-masing adalah mengikut peratusan modal yang disumbangkan ke atas rumah tersebut ketika membuat perjanjian jual beli itu kecuali sekiranya terdapat persetujuan dari pihak nama bersama pembahagian setiap seorang adalah 1/2 bahagian.
Adapun ibu tuan bercadang untuk menjual rumah tersebut, maka hasil jualan tersebut perlulah ditolak terlebih dahulu bahagian sumbangan modal ibu puan, dan baki daripadanya barulah dibahagiakan secara pembahagian faraid kepada waris-waris yang berhak.
Sekian, terima kasih.