Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Saya ingin bertanya berkenaan isu faraid harta. Kami adik beradik seramai 12 orang daripada 2 Ibu. 2 orang anak dari Ibu Pertama dan 10 orang anak dari Ibu ke 2.
Soalan saya sekiranya ada harta atas nama Ibu ke 2, adakah anak dari Ibu pertama juga termasuk dalam senarai penerima harta faraid?
Sekiranya tidak, boleh kah kami anak - anak dari Ibu ke 2 berpakat setelah harta di faraid kan dan kami telah dapat bahagian kami. Kemudian kami keluarkan sedikit daripada harta yang kami terima dan kumpulkan untuk diberikan kepada anak - anak Ibu Pertama supaya tidak ada kecil hati antara adik beradik.
Ucapan Terima kasih saya dahulukan atas cadangan dan pencerahan yang akan diberikan nanti.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, dari sudut hukum syarak, anak-anak dari ibu pertama tidak layak mempusakai harta pusaka atas kematian ibu yang kedua kerana anak-anak dari ibu pertama bukan waris nasab yang ada pertalian darah mengikut hukum faraid. Anak-anak dari ibu pertama itu tadi hanya layak mempusakai dari harta pusaka ibu dan bapa kandung mereka sahaja apabila ibu dan bapa mereka telah meninggal dunia.
Adapun anak-anak dari ibu kedua bersepakat untuk memberikan sedikit bahagian masing-masing untuk diberikan kepada anak-anak dari ibu pertama, ianya dianggap sedekah dan satu perbuatan yang mulia di sisi Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 271:
Maksudnya: Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Namun, sekiranya anak-anak dari ibu kedua berhasrat untuk bersedekah dari bahagian hartanya masing-masing selepas pembahagian faraid dilaksanakan adalah atas kerelaan hatinya sendiri dan bukan atas keterpaksaan.
Sekian, terima kasih.