Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pertanyaan saya adalah, saya memberi hutang kepada kawan saya yang bukan Islam, dan saya syak bayaran hutang saya dari dia adalah dari sumber tidak halal, seperti judi dsb.
Apakah hukum tentang penerimaan bayaran hutang tersebut ? Dan apa yang perlu saya lakukan ?
Jawapan
Secara asasnya, harus bagi seorang Muslim menerima bayaran hutang daripada rakan bukan Islam, walaupun sumber pendapatannya mungkin bercampur atau datang daripada sumber yang haram seperti judi atau menjual barang tidak halal.Transaksi pembayaran hutang adalah satu akad yang sah, manakala sumber pendapatan pembayar hutang adalah tanggungjawab peribadi beliau di sisi undang-undang dan menurut kepercayaan beliau. Oleh itu, wang yang diterima itu harus untuk dimanfaatkan.
Sekian, terima kasih