Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,saya mempunyai keraguan kerana baru-baru ini Perodua telah mengeluarkan sebuah kenderaan EV baharu. Terdapat perkara baharu yang menarik perhatian saya berkaitan program leasing battery Baas ( battery as a service) by perodua. Di mana kereta dijual pada harga RM80,000 dan battery kereta akan di sewa untuk tempoh 9 tahun pada kadar RM275 bulanan. Pembeli akan membuat pinjaman pada bank untuk harga kereta dan battery pula hak milik kekal perodua dan pembeli hanya menyewa.
Saya melihat sewa battery kereta ni serupa macam insurance atau warranty kerana Perodua memberi jaminan lifetime dengan syarat pembeli membayar RM275 ke Perodua secara bulanan sehingga tempoh 9 tahun dan sekiranya ada kerosakkan manufactury atau battery health menurun ke 70% dan kebawah, Perodua akan menggantikan battery baharu dan pemilik kenderaan akan sambung contract sewa battery yg baru selama 9 tahun kembali.
Soalan saya, sekiranya battery kenderaan itu tidak mengalamai kerosakkan atau penurunan kualiti yang memerlukan penggantian, adakah sewa battery ni termasuk dalam kategori pembayaran untuk perkara yang tidak pasti seperti kita membeli apple care+? Kerana Perodua tidak menyediakan program atau cara pembelian dimana pemilik mendapat hak kekal terhadap battery kenderaan tersabut jadi pembeli terpaksa menyewa secara tidak langsung sekiranya ingin membeli kenderaan tersebut.
Mohon penjelasan yang lebih terperinci kerana saya mempunyai keraguan dan ingin penjelasan sebelum membuat keputusan untuk berminat membeli kenderaan tersabut, dan terima kasih sudi menjawab pertanyaan saya.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umumnya pihak penjual berhak menjual mengikut kaedah yang dirasakan sesuai dan terbaik untuk syarikatnya tanpa unsur pengambilan keuntungan secara keterlaluan sehingga berlaku penindasan kepada pembeli. Pengguna dan pembeli pula mempunyai pilihan tetapi pada waktu yang sama perlu bijak dalam membuat keputusan sebelum membeli.
Dari sudut syarak sekiranya terma dan syarat jualan jelas dan dibuat secara berasingan maka jual beli tersebut adalah sah disudut syarak berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan:
Maksudnya: Rasulullah SAW melarang dua jual beli dalam satu jual beli. (Riwayat Abu Daud)
Oleh itu, jika perjanjian sewa beli dimasukkan sekali dalam perjanjian pembelian kereta dibimbangi ia akan termasuk di dalam larangan yang dinyatakan dalam hadis. Sebaiknya dapatkan penjelasan terlebih dahulu daripada pihak penjual tentang kontrak yang akan ditandatangan sebelum membuat apa-apa keputusan.
Sekian, terima kasih.