Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Saya ingin bertanya mengenai status halal atau haram bagi duit yang saya dapat daripada aktiviti “review/promote brand”.
Dalam aktiviti ini, saya diminta untuk deposit duit dahulu sebagai modal (capital) sebelum boleh promote brand.
Selepas itu, saya akan menjalankan proses promosi iaitu dengan meninggalkan review bagi setiap brand yang diberikan.
Setelah selesai promote brand, saya boleh withdraw semula deposit tersebut beserta profit yang diperoleh daripada aktiviti promosi saya.
Saya telah melakukan aktiviti ini selama lebih kurang 1 bulan.
Dalam sehari, saya boleh menghasilkan lebih kurang RM100++ atau ke atas, bergantung kepada jumlah review yang saya lakukan.
Berdasarkan situasi ini, adakah pendapatan tersebut dapat dikira halal mengikut syarak?
Terima kasih ustaz atas penjelasan dan panduan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umumnya pendapatan daripada aktiviti promosi dan ulasan jenama (brand review) adalah harus, tertakluk kepada pematuhan garis panduan syarak berkaitan transaksi perkhidmatan (Ujrah). Sebagai seorang pengulas produk beragama Islam berikut adalah beberapa panduan yang mesti diambil perhatian bagi memastikan pendapatan yang diperolehi adalah halal dari sudut syarak:
Produk atau servis yang Halal: Jenama yang dipromosikan tidak melibatkan perkara haram seperti judi, arak, pelaburan patuh syariah yang meragukan, atau produk yang membahayakan kesihatan.
Kejujuran dalam ulasan: Tidak mengandungi unsur samar-samar atau penipuan (gharar atau tadlis). Anda tidak boleh memberikan testimoni palsu atau mendakwa produk mempunyai kesan yang tidak wujud.
Cara penyampaian: Kandungan promosi mestilah menjaga batas syarak seperti tidak mendedahkan aurat, mengandungi unsur lucah, menghina mana-mana pihak atau apa-apa perbuatan dan akhlak yang bertentangan dengan akhlak Islam.
Ketelusan (transparency): Sebaiknya menyatakan bahawa hantaran tersebut adalah sebuah iklan (paid partnership) untuk mengelakkan kekeliruan audiens.
Mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Ulil Amri (pihak berkuasa)
Semoga dikurniakan rezeki yang halal yang boleh dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sekian, terima kasih.