BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Salam,

Syarikat tempat saya bekerja menyediakan software dan hardware seperti server, firewall dan lain-lain kepada pelbagai syarikat. Dalam kata lain, kami adalah penyedia perkhidmatan / service provider dan pelanggan kami adalah individu dan syarikat yang memerlukan software dan hardware berkait teknologi dan IT.

Antara tanggungjawab saya adalah membantu dan bekerjasama dengan para pelanggan apabila mereka mempunyai masalah-masalah teknikal atau perlukan khidmat nasihat / kepakaran saya. Sebahagian kecil daripada pelanggan-pelanggan kami ini adalah syarikat-syarikat yang menawarkan servis kepada syarikat-syarikat Israel. Sumber dari media-media arus perdana menunjukkan ada dalam kalangan syarikat-syarikat ini terkait dan menyokong Israel. Kami juga mempunyai beberapa pelanggan / syarikat dari Israel.

Apakah hukum pekerjaan saya? Adakah halal atau dikira sebagai haram?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Hukum bekerja di syarikat yang menyokong israel adalah bergantung kepada sektor pekerjaan yang diceburi. Sekiranya sektor persenjataan, teknologi dan kewangan yang menyumbang langsung kepada Israel bagi peperangan di Palestin atau di mana-mana sahaja, maka pekerjaannya adalah haram dan perlu mencari pekerjaan lain. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Sekiranya bekerja di sektor yang hanya menyumbang sedikit kepada Isreal, maka pendapatan tidak menjadi haram dan sebagai solidariti kepada rakyat Palestin maka digalakkan untuk mencari pekerjaan lain.

Berbalik kepada pertanyaan tuan, sebagaimana hadis daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، والْحَرَامَ بَيِّنٌ، وبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وعِرْضِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.(Riwayat Bukhari)

Semoga pekerajaan tuan terhindar daripada menyumbang kepada perkara kemungkaran. Sekiranya tidak memberi kelapangan jiwa, boleh bersandarkan hadis di atas iaitu jauhi perkara yang syubhah kerana ia sangat menenangkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 47

message user image