Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Soalan saya berkaitan platform Buy Now Pay Later (BNPL).
Sekira platform BNPL di applikasi tu tidak patuh syariah, tetapi ada bahagian pembayaran tidak kenakan cas tambahan, adakah saya boleh gunakan ia?
Contoh TikTok Pay Later tidak patuh syariah, tetapi sekiranya buat pembayaran ansuran secara 3 bulan,tiada cas tambahan dikenakan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Berdasarkan prinsip syarak, sesuatu transaksi kewangan adalah sah dan halal sekiranya ia mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak, termasuk terhindar daripada riba, gharar (ketidakpastian yang berlebihan) dan unsur-unsur yang diharamkan.
Dalam konteks platform BNPL yang tidak patuh syariah, walaupun terdapat tawaran ansuran tanpa cas tambahan, penggunaan platform tersebut tetap tidak digalakkan kerana perbuatan tersebut menunjukkan sokongan terhadap platform yang tidak patuh syariah.
Adalah lebih selamat dan disarankan bagi umat Islam menggunakan platform kewangan atau BNPL yang telah disahkan patuh syariah. Ini untuk memastikan transaksi yang dilakukan adalah selamat, sah dan diberkati dari sudut syarak.
Sekian, terima kasih.