Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
Saya ada satu persoalan mengenai faraid. Kami ada satu rumah sewa peninggalan arwah bapa. Sebelum ini kutipan sewa rumah itu dibahagi secara faraid. Waris yang ada 3 orang iaitu ibu tiri, abang saya dan saya . Ibu tiri mendapat 1/8 bahagian, abang 2 bahagian dan saya 2 bahagian. Baru ni abang saya meninggal dunia dan meninggalkan isteri dan anak. Persoalan saya, macamana pembahagian faraidnya rumah sewa tu sekarang. Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, bahagian arwah abang tuan itu perlulah diserahkan kepada isteri si mati. Hal ini kerana isteri dan anak-anaknya berhak ke atas hasil sewaan bahagian arwah abang tersebut. Walau bagaimanapun, terpulang kepada keluarga arwah abang dalam menentukan pembahagiannya sama ada faraid atau sama-rata. Tanggungjawab tuan hanyalah menyerahkan bahagian abang tuan kepada warisnya sahaja.
Sekian, terima kasih.