Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada pertanyaan yang sedikit panjang dan kompleks. Baru-baru ini baru sahaja selesai PRU DUN Sabah ke-17. Saya ada seorang mahasiswa yang pertama kali mengundi. Semasa mengundi, saya telah mendapat duit daripada beberapa parti politik di kawasan saya. Mereka memberikan duit tersebut tanpa memberitahu tujuan yang spesifik. Kebanyakan orang panggil duit tersebut ialah duit undi. kebanyakan mengatakan duit itu bertujuan untuk diberikan untuk duit tambang untuk pengundi atau untuk kegunaan diri sendiri. Dan untuk pengetahuan tuan, ini telah menjadi budaya di kawasan saya atau di kebanyakan di Sabah di mana pengundi akan diberikan duit seperti ini sewaktu hari mengundi. Soalan pertama saya, apakah status duit ini dari sudut Islam.
Untuk sambungan seterusnya, saya telah menerima duit tersebut dan menggunakan sebahagian duit tersebut iaitu bernilai 1 keping RM 100 untuk membeli 1 tray telur yang bernilai RM 18. Soalan saya, jika duit yang diberikan itu ialah dikira rasuah, dan saya baru sedar selepas membeli telur tersebut, bolehkah saya beranggapan bahawa menukar nilai telur Rm18 dan baki duit Rm100 yang haram tersebut dengan duit Rm 100 yang halal agar telur yang dibeli dengan duit haram tersebut menjadi halal dan duit asal yang halal tersebut tukar kepada haram?
Jawapan
Secara umumnya isu ini terdapat banyak pandangan yang cenderung menyatakan bahawa ia adalah rasuah pilihan raya, namun terdapat beberapa penilitian yang perlu dilihat dengan sangat teliti.
Kecenderungan dalam isu ini adalah pemberian yang diberikan oleh ahli politik adalah bantuan kepada logistik untuk memudahkan atau galakan tuan dan yang menerimanya pulang ke kampung untuk mengundi.
Namun, langkah yang paling wajar ialah tidak menerima sebarang wang sepanjang tempoh pilihan raya, kerana terdapat keraguan sama ada pemberian tersebut termasuk dalam kategori rasuah atau sebaliknya. Daripada al-Nu’man bin Basyir RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. (Riwayat al-Bukhari)
Apa yang telah berlaku harus anda menggunakannya kerana kejahilan pada waktu itu, sebaiknya lebih berhati-hati di masa hadapan dengan meneliti pemberian berdasarkan huraian yang disebutkan.
Sekian, terima kasih