Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum uztaz izin bertanya, saya ada beli baju dengan seluar dekat aplikasi TEMU dengan percuma daripada promosi yang disediakan tapi dengan syarat saya kene buat pembelian barang lain dengan harga minimum RM 100. Selepas dah beli baju seluar dengan barang lain tu saya refund semula barang-barangan yang berharga RM 100 ++ tu dan hanya tinggalkan baju dengan seluar yang percuma yang sekarang ni dah sampai dan dah pun pakai selama lebih kurang 1 tahun tapi lama kelamaan saya rasa macam bersalah pulak.
Boleh ke saya tahu apa hukumnya pakai lagi baju dengan seluar percuma tu? Sekian
Jawapan
Firman Allah SWT dalam surah Al-Nisa’ ayat29:
Maksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.
Begitu juga hadis riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka (Riwayat Abu Daud)
Sekiranya ia ada dalam syarat memulangkan kembali pakaian tersebut, maka wajib dipulangkan. Sekiranya telah lama digunakan, tuan boleh menggantikannya dengan senilai yang sama dengan baju asal.
Hadis daripada Amru bin Yathribi, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
Maksud: Tidak halal harta seseorang saudaranya melainkan dengan keizinan daripada pemiliknya sendiri. (Riyawat Imam Ahmad)
Sekiranya telah mendapatkan izin dari penjual maka ia harus digunakan. Memandangkan perkara ini telah berlalu setahun maka berikut antara langkah yang boleh dilakukan:
Hubungi Penjual (Jika Mampu): Maklumkan situasi kepada pihak khidmat pelanggan. Jika mereka menghalalkan atau memberi izin, maka harta tersebut menjadi halal bagi saudara.
Ganti Nilai Barang: Sekiranya sukar untuk berurusan dengan pihak penjual, jalan terbaik untuk membersihkan jiwa adalah dengan menggantikan nilai harga baju dan seluar tersebut (anggaran harga pasaran) dan diinfaqkan kepada fakir miskin sebagai ganti menggunakan sesuatu yang bukan hak.
Bertaubat atas kesilapan dalam urusan muamalah tersebut dan berazam tidak mengulanginya.
Sekian, terima kasih