Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Saya Lynn dari Petaling Jaya, ingin mendapatkan pencerahan daripada pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan hukum penggunaan kemudahan ansuran "Buy Now, Pay Later" (BNPL) melalui Shopee PayLater yang ditawarkan selama 24 bulan.
Untuk makluman pihak tuan, kemudahan ini dikenakan caj tambahan tertentu (seperti kadar faedah bulanan atau caj pemprosesan) dan saya ingin mengetahui sama ada ia menepati syariat Islam atau termasuk dalam kategori riba.
Soalan saya:
1. Adakah pembelian menggunakan Shopee PayLater untuk tempoh panjang seperti 24 bulan dibenarkan menurut hukum syarak?
2. Adakah caj tambahan yang dikenakan oleh penyedia BNPL dikira sebagai riba?
Saya ingin memastikan segala urusan kewangan saya berlandaskan hukum yang betul dan memohon panduan serta nasihat daripada pihak tuan.
Segala kerjasama dan maklum balas pihak tuan amat saya hargai.
Sekian, terima kasih.
Wassalam.
Yang benar,
LYNN
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1. Pada asasnya, pembayaran hutang secara ansuran adalah diharuskan di dalam Islam.
2. Sebarang caj tambahan diharuskan sekiranya ia dikenakan atas perkhidmatan sistem yang disediakan dan ia tertakluk kepada kos sebenar. Walau bagaimanapun, sekiranya caj yang dikenakan adalah ke atas jumlah hutang yang diberikan, maka ia tidak dibenarkan kerana ia adalah riba.
Berhubung perkhidmatan BNPL oleh Shopee PayLater, terdapat pemakluman bahawa ia telah mendapat pengiktirafan patuh syariah daripada salah sebuah firma yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Kami memerlukan kajian lebih lanjut, sebelum dapat memberikan sebarang pandangan khusus terhadap soalan yang diberikan.
Sekian, terima kasih.