BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Tajuk : SEWA

 

Assalamualaikum...

Awal Tahun 2024, saya meminta owner untuk untuk bayarkan deposit teksi innova. Jumlah deposit rm6000 yang perlu dibayar kepada sebuah syarikat. Rm1500 dari pihak saya dan Rm4500 Dari pihak owner. Tempoh sewaan adalah dari bulan Mei 2024 - Sept 2025. Dengan syarat, Selepas dari tempoh tersebut, kereta akan menjadi miliknya dan kos maintenance kereta ditanggung sepenuhnya oleh owner. Sementara bagi pihak saya, saya kena bayar kereta(sewa) sampai kereta tersebut habis dibayar dari syarikat iaitu sehingga September 2025.

Perjanjian, bagi pihak owner Kereta habis bayar jadi miliknya dan Maintenance dalam tanggungannya.

Sementara bagi pihak saya, hanya perlu membayar sewa sampai tempoh yang di janjikan.

 Selama Tempoh saya menyewa dari awal bulan MEI 2024 sehingga hujung bulan AUGUST 2025 (3 BULAN) Saya sendiri telah menanggung kos maintenance seperti :-

- Kos Tukar Minyak Engine. (3x)

- Kos Tukar Mnyak Dan Filter Gearbox. (2x)

- Absorber Depan Kiri Kanan.

- Tukar Blower Aircond.

- Tukar Pump NGV

- Filter NGV

- Tukar Tayar Baru Depan 2 Biji.

- Tukar Bearing Sblah Kiri.

- Tukar Bearing Clip.

- Tukar Minyak Axle.

- Kos Puspacom.

- Servis Meter Teksi.

- Kos Sewa Vacume.

Kos Barang Dan Upah Saya Bayar Sendiri anggaran dalam RM2000

 Satu Masa, kereta tersadai dalam bengkel selama 6 hari. Saya sebagai penyewa juga yang disuruh untuk membayar sewa harian kereta tersebut. 

 Pada Bulan AUGUST 2024, Kereta tersebut mengalami masalah aircond, Dan saya meminta Owner untuk memperbaikinya. Kebetulan pada masa itu, Owner baru selesai satu tugasan Job dari KL - Cameron - Kuala Tahan - Kuantan(3Hari) Dengan bayaran Rm1700. Namun hanya ditangguhkan dan saya nerasa owner sengaja mengelak dari memperbaiki keretanya sendiri.

Disebabkan Itu, Maintenance Sebelum Ini Kebanyakannya Ditanggung Oleh Saya Sendiri.

   Pada bulan sept2024, saya melepaskan kereta dan kembalikannya kepada owner tanpa tunggakan sewa kerana merasa Owner tidak menepati janji atau Owner gagal dalam melaksanakan tanggungjwabnya seperti dalam perjanjian yang kami sepakati.

  Pada pertengahan tahun 2025 sekitar bulan 6/7, Sy menghubngi owner untuk meminta kembali duit maintenance yang saya tanggung sebelum ini.

 c. Owner tidak mengakui kos maintenance yang telah dibelanjakan oleh saya kerana saya tidak membayar sewa kereta tersebut seperti yang dijanjikan sebelum Ini(Bayar Sampai Habis Tempoh Sewaan)

 

Persoalan.

•Apakah benar menurut pengetauhan saya, ketika saya sebagai penyewa telah merasa terbeban mengeluarkan duit sendiri untuk maintenance kereta, maka perjanjian saya bersama owner telah terbatal dan saya boleh mengembalikan kereta miliknya bila-bila masa sahaja.?

•Apakah tindakan saya salah kerana melepaskan keretanya(tidak sambung sewa) seperti yang dijanjikan dalam tempoh yang tertentu kerana saya merasa owner kereta tak menunaikan janjinya?

•Apakah Penyewa Yang Perlu Menanggung Sewa Harian Sekiranya Kereta Tersebut Tersadai Dalam Bengkel meskipun perkara ini tidak pernah dibincangkan oleh kami berdua sebelum ini.

•Apakah Saya Boleh Menuntut Semula Kos Maintenance Yg Saya Tanggung Sebelum Ni?

•Apakah Kos Maintenance Sy Bole Dijadikan Cagaran/Dihanguskan Meskipun Tiada Dalam Terma Perjanjian?

 

Terima Kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan, secara umum menurut panduan syarak sewaan disebut sebagai al-ijarah iaitu akad untuk memiliki manfaat sesuatu barang atau perkhidmatan dengan bayaran tertentu. Ini bermaksud penyewa berhak menggunakan barang yang disewa, manakala pemilik wajib memastikan manfaat barang tersebut dapat dinikmati. Ulama mentakrifkan:

الإِجَارَةُ عَقْدٌ عَلَى مَنْفَعَةٍ مَعْلُومَةٍ مُبَاحَةٍ بِعِوَضٍ مَعْلُومٍ

Maksudnya: Ijarah ialah satu akad atas manfaat yang diketahui, yang harus digunakan, dengan imbalan (bayaran) yang diketahui.

Antara syarat asas ijarah ialah:

  • Barang sewaan mestilah memberi manfaat kepada penyewa.

  • Pemilik wajib menanggung kos asas penyelenggaraan (maintenance) supaya barang boleh digunakan.

  • Jika barang rosak atau tidak boleh digunakan, penyewa tidak wajib bayar sewa sepanjang tempoh ia tidak boleh dimanfaatkan.

Berdasarkan isu yang dibincangkan di dalam soalan: 

  1. Status perjanjian bila penyewa terpaksa tanggung maintenance
    Sejak awal dipersetujui bahawa kos maintenance ditanggung oleh pemilik. Bila penyewa pula yang membayar tanpa persetujuan tambahan, maka pemilik telah melanggar syarat akad. Dari sudut fiqh ijarah, bila syarat utama dilanggar, penyewa ada hak menamatkan sewaan lebih awal. Jadi, akad boleh dianggap terbatal kerana pelanggaran syarat oleh pemilik.

  2. Tindakan melepaskan kereta sebelum tamat tempoh
    Tidak salah bagi pihak penyewa, kerana asas akad adalah menepati syarat yang dipersetujui. Bila pemilik gagal menunaikan janji, penyewa tidak lagi terikat untuk terus menyewa hingga habis tempoh. Maka menyerahkan kereta tanpa tunggakan sewa adalah langkah yang wajar.

  3. Tanggungjawab sewa harian semasa kereta tersadai di bengkel
    Dalam hukum ijarah, jika barang sewaan tidak boleh digunakan dalam tempoh tertentu, maka penyewa tidak wajib membayar sewa kerana manfaat tidak sampai kepadanya. Oleh itu, menuntut sewa ketika kereta berada di bengkel adalah tidak menepati hukum asal sewaan, lebih-lebih lagi kerana ia tidak pernah dipersetujui bersama.

  4. Tuntutan semula kos maintenance
    Penyewa berhak menuntut semula kos maintenance kerana ia adalah tanggungjawab pemilik. Perbelanjaan yang dikeluarkan oleh penyewa boleh dianggap sebagai hutang yang wajib dibayar semula oleh pemilik, sebab ia bukan dalam beban penyewa.

  5. Kos maintenance dijadikan cagaran atau dihanguskan
    Jika perkara itu tidak pernah disebut dalam perjanjian, pemilik tidak boleh menganggap kos maintenance sebagai hangus atau cagaran. Dalam akad, apa yang tidak dipersetujui secara jelas tidak boleh dipaksakan kemudian. Maka kos tersebut tetap hak penyewa untuk dituntut.

Sewajarnya kedua-dua pihak bersungguh-sungguh untuk memastikan perjanjian sewaan dipatuhi, Islam amat menekankan kepentingan menepati janji dan kontrak yang telah dipersetujui bersama. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 1:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

المُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: Kaum Muslimin terikat dengan syarat-syarat yang mereka tetapkan. (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi)

Dalam akad ijarah, kedua-dua pihak wajib menepati syarat yang dipersetujui. Pemilik wajib menanggung kos penyelenggaraan supaya barang sewaan boleh dimanfaatkan. Bila pemilik gagal menunaikan syarat ini, penyewa berhak menamatkan perjanjian lebih awal. Penyewa juga berhak menuntut semula kos maintenance yang ditanggung, dan tidak wajib membayar sewa ketika kereta tidak boleh digunakan. Segala bentuk dakwaan kos maintenance dianggap hangus tanpa persetujuan awal adalah bercanggah dengan prinsip syarat dan kontrak dalam Islam.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 51

message user image