Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum,
Sekiranya arwah abang meninggal pada awal tahun dan pada hujung tahun bonus arwah keluar.apakah bonus tersebut di kira faraid atau terpulang pada isteri sebagai pentadbir jika beliau ingin membuat pembahagian atau pun tidak?situasinya adalah arwah tidak mempunyai anak,ibu dan abang masih hidup.
Buat makluman juga pihak waris lain tidak tahu jumlah bonus dan jumlah keseluruhan harta lain (yg boleh difaraid),hanya isteri/balu shj yg tahu dan waris lain tidak dibenarkan bertanya jumlah atau melihat surat berkaitan.Adakah sah pembahagian tersebut jika waris lain tidak tahu apa-apa jumlah.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, bonus arwah abang yang terhasil daripada gaji pokok adalah merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada waris-waris yang berhak. Sekiranya isteri telah dilantik sebagai pentadbir atas harta pusaka arwah abang, maka peranan pentadbir itu tadi mestilah menguruskan harta pusaka arwah suaminya secara adil dengan membahagikan harta pusaka tersebut mengikut faraid kepada waris-waris yang berhak.
Perlu diingatkan bahawa pentadbir harta pusaka berperanan dan bertangunggjawab untuk menguruskan harta pusaka si mati sahaja. Ini bermakna, isteri arwah abang puan bukanlah pemilik mutlak ke atas harta tersebut. Malahan, beliau berperanan dalam memastikan amanah dan tangguungjawab yang digalas itu perlu dilaksanakan secara telus dan jujur bagi mengelakkan dari termakan harta secara batil.
Kejujuran dalam mengurus harta pusaka adalah kunci kepada keadilan, keharmonian keluarga, dan keredhaan Allah. Oleh yang demikian, disarankan kepada pihak puan agar menasihati isteri arwah abang puan untuk mengadakan perbincangan secara baik dan harmoni sesama waris yang berhak bagi menjaga silaturahim sesama mereka dan dapat mengelakkan dari termakan harta secara batil.
Sekian, terima kasih.