BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya bekerja menjual kereta dan rumah. dan ketika customer membeli kereta atau rumah melalui pinjaman conventional, bukan saya yg uruskan. customer boleh beli cash. akan tetapi customer yg membuat pilihan utk membeli melalui pinjaman. kerja saya hanya menjual kereta dan rumah tanpa berurusan tentang pinjaman. adakah saya dikira memudahkan proses riba? atau patut saya mencari kerja lain


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan.

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, pekerjaan menjual kereta atau rumah secara asasnya adalah harus. Aktiviti jual beli itu sendiri adalah transaksi yang halal dan dibenarkan syarak, selagi tidak terlibat secara langsung dengan unsur yang diharamkan.

Isu syubhah hanya timbul jika seseorang itu terlibat secara langsung dengan pengurusan pinjaman riba, seperti menjadi agen bagi pihak bank konvensional, menyiapkan dokumen pinjaman riba, mempromosikan pinjaman riba, atau menerima komisen daripada pinjaman tersebut. Berdasarkan hadis daripada Jabir Bin Abdullah RA, beliau menyatakan:

لَعَنَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ آكِلَ الرِّبَا، وَمُؤْكِلَهُ، وَكَاتِبَهُ، وَشَاهِدَيْهِ، وَقالَ: هُمْ سَوَاءٌ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, orang yang memberi pinjaman riba, pencatatnya, dan dua saksinya. Beliau bersabda, Mereka semua sama. (Riwayat Muslim)

Kesimpulannya, adalah wajar menasihatkan para pembeli Muslim supaya memilih pembiayaan yang patuh syariah sebagai satu bentuk tanggungjawab saling mengingatkan sesama Muslim ke arah transaksi yang lebih berkat dan terpelihara daripada unsur riba. Namun sekiranya setelah dinasihati, pembeli tetap memilih untuk menggunakan pembiayaan konvensional, maka tanggungjawab tersebut kembali kepada mereka. Sebagai penjual anda tidak menanggung dosa kerana tidak terlibat dalam urusan pinjaman tersebut, dan akad jual beli yang anda jalankan sebagai penjual kekal sah serta harus di sisi syarak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih. 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 37

message user image