Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pertanyaan Hukum Menjalankan Servis Photobooth
Assalamualaikum ustaz,
Saya ingin bertanya tentang hukum menjalankan perkhidmatan photobooth di majlis atau event.
Konsep photobooth saya adalah:
- Saya hanya sediakan kamera, printer dan sistem automatik (orang tekan sendiri untuk ambil gambar).
- Saya tidak mengarahkan gaya atau pose pelanggan.
- Saya tidak menyimpan, mengedit atau memuat naik gambar ke media sosial.
- Gambar terus dicetak dan diberikan kepada pelanggan.
Berbeza dengan jurugambar perkahwinan yang mengambil dan memilih gambar pengantin atau tetamu, dalam photobooth ini pelanggan ambil gambar sendiri tanpa penglibatan saya dalam proses bergambar.
Persoalan saya:
Adakah saya dikira berdosa atau bersubahat jika pelanggan yang bergambar itu tidak menutup aurat, sedangkan saya hanya menyediakan peralatan dan tidak terlibat secara langsung dalam pengambilan gambar?
Mohon penjelasan hukum dan nasihat daripada ustaz. Terima kasih.
Jawapan
Berdasarkan situasi yang dijelaskan, servis photobooth yang tuan jalankan adalah diharuskan dan tidak bertentangan dengan syarak selagi majlis tersebut adalah majlis yang baik seperti majlis perkahwinan. Berkenaan dengan individu-individu yang tidak menutup aurat yang menggunakan servis tuan dalam majlis tersebut, tuan tidaklah dikira bersubahat bahkan ia adalah dosa kepada individu tersebut yang tidak menutup aurat. Oleh itu, tuan bukanlah melakukan sesuatu yang berdosa.
Firman Allah SWt dalam Surah al-Fatir ayat 18:
Maksudnya: Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.
Sekian, terima kasih.