Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya menghasilkan aplikasi web secara percuma, tetapi saya letakkan link jika ada yang ingin memberi sumbangan (tiada paksaan). Adakah ia dibolehkan dalam Islam? adakah ia dikira meminta-minta?
Jawapan
Menjawab soalan yang diajukan, perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai perbuatan meminta-minta yang sekiranya dilakukan tanpa sebab mendesak seperti dalam keadaan dharurah, maka ia adalah dilarang dan hukumnya haram.
Hadis daripada Sahl Ibn Hanzaliyyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: "Sesiapa yang meminta-meminta, padahal dia mempunyai sesuatu cukup untuk dirinya, maka bererti hanya memperbanyak bara api neraka Jahannam.” Lalu para sahabat bertanya: “Bagaimanakah yang dikatakan cukup baginya?” Baginda menjawab: “Sesuatu yang mencukupi untuk makan siang dan malam". (Riwayat Abu Daud)
Begitu juga hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang meminta harta kepada manusia untuk memperkayakan dirinya, maka bererti hanya meminta bara api neraka. Oleh sebab itu, terserahlah kepadanya untuk meminta sedikit atau meminta banyak. (RIwayat Muslim)
Sekian terima kasih.