Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
SALAM . saya nak bertanya apakah suami saya menjadi anak derhaka jika ayah kandung suami sendiri mengharamkan suami balik ke rumah nya dan suami saya terasa hati dan tidak mahu balik lagi kerana sudah banyak kali ayahnya menyakitkan hati dia sehingga mereka bertengkar setiap kali jumpa . dia tidak mahu balik keranq sudah diharamkan dan kerana dia tidak mahu bergaduh dan sakit hati lagi dengan ayah nya yang suka cari kesalahan dan memakinya . tambahan lagi ayahnya tidak suka pada saya isterinya sehingga menghina orang tua saya dan meludah saya dan turut mengharam kan saya pulang ke rumah nya . apabila kami mengambil keputusan untuk tidak pulang lagi kami dipersalahkan dan dikatakan kami derhaka padahal kami hanya ingin menjaga emosi kami dan menjaga emosi anak2 kami dari segala caci maki ayah mertua . apakah kami dikira berdosa dan derhaka ? mereka menggunakan alasan dia sudah tua jadi biarkan . apakah tua itu boleh dijadikan alasan untuk caci maki hina anak menantu ?
Jawapan
Menjawab persoalan puan, tidaklah dikira berdosa atau derhaka selagi anak itu berbuat baik dan mendoakan kedua ibu bapanya. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 23:
۞ وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوۤا۟ إِلَّاۤ إِیَّاهُ وَبِٱلۡوَ ٰلِدَیۡنِ إِحۡسَـٰنًاۚ إِمَّا یَبۡلُغَنَّ عِندَكَ ٱلۡكِبَرَ أَحَدُهُمَاۤ أَوۡ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَاۤ أُفࣲّ وَلَا تَنۡهَرۡهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوۡلࣰا كَرِیمࣰا
Maksudnya : Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
Alasan "tua" bukanlah tiket untuk mencaci maki serta menghina sesama manusia. Tua atau muda sesiapa yang mencaci maki atau menghina orang dosanya masing-masing akan ditanggung sendiri. Sebagai anak adalah menjadi kewajipan untuk berbuat baik, menyayangi ibu bapanya sebagaimana yang telah Allah perintahkan. Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 14:
وَوَصَّیۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ بِوَ ٰلِدَیۡهِ
Maksudnya : Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;
Anak itu terlahir dari kedua ibu bapanya. Justeru, anak tidak boleh memilih siapa ibu bapa mereka. Bagaimana sekalipun watak ibu bapa itu, bukanlah asbab untuk anak menolak/menjauhkan diri atau memprotes kedua ibu bapa mereka. Semoga suatu masa nanti mereka akan menyesali dan menyedari perbuatan mereka. Kerana perkara itu juga boleh meninggalkan memori yang tidak bagus untuk anak-anak. Sentiasalah berdoa agar mereka menjadi orang tua yang baik kelakuannya sehingga ke akhir hayat mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 24 :
وَٱخۡفِضۡ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحۡمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرۡحَمۡهُمَا كَمَا رَبَّیَانِی صَغِیرࣰا
Maksudnya : Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
Sekian, terima kasih