Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum , berkenaan taklik .
Baru baru ni saya bertengkar dengan isteri saya tentang ketidakjujuran saya dalam perhubungan , iaitu pergi ke pusat urut thai dan menonton video yang tidak senonoh. Lalu isteri saya menyuruh saya untuk tulis taklik talak. Bagi meredakan keadaan dan ingin menyelamatkan rumah tangga, saya cuma akur dan tulis taklik itu walaupun dalam hati sebenarnya tidak rela kerana khuatir akan ingkar dengan syarat yang disuruh. Contoh surat ;
"Saya berjanji untuk tidak membenarkan diri saya disentuh dengan sengaja oleh perempuan bukan mahram tanpa pengetahuan isteri. Dan dengan sengaja menonton video lucah. Jika saya ingkar, saya mengesahkan jatuh talak terhadap isteri saya"
Dan begitulah suasana yang tegang kembali aman. Saya inginkan penjelasan yang benar akan situasi saya.
Jawapan
Menjawab pertanyaan tuan, mana-mana perkataan atau ayat yang mengandungi makna talak yang ditulis dalam bentuk kitabah atau tulisan dan yang seumpama dengannya dan tidak dilafazkan oleh suami secara jelas adalah dikira sebagai lafaz talak dalam bentuk kinayah atau kiasan iaitu lafaz yang tergantung kepada niat suami ketika menulis perkataan tersebut, seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak namun sebaliknya seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku. Dan berdasarkan pengakuan tuan bahawa tuan tidak berniat untuk menceraikan isterinya, hanya sekadar untuk meredakan keadaan dan ingin menyelamatkan rumah tangga sahaja, maka ia tidak menyebabkan jatuhnya talak.
Walau bagaimanapun, sekiranya tuan inginkan penjelasan lanjut dan lebih lengkap serta berautoriti, maka tuan bolehlah merujuk pertanyaan dan perkara ini ke mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah atau Jabatan Agama Islam Negeri yang berhampiran kerana mereka adalah agensi yang berautoriti dan berbidangkuasa dalam menguruskan perkara yang seumpama ini.
Sekian terima kasih