Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Berkenaan talak
Saya ada begaduh dengan isteri. Kemudian isteri cakap ' saya nak keluar balik rumah mak'. Saya balas kalau keluar, jatuh talak. (Saya bermaksud keluar balik rumah mak pada ketika itu). Isteri tak keluar pada waktu itu. Soalan saya adakah jatuh talak kalau isteri saya keluar waktu pergaduhan itu? Atau isteri saya tidak boleh keluar rumah selamanya?
Jawapan
Menjawab persoalan saudara, ayat balas dari suami iaitu : "kalau keluar, jatuh talak" boleh dikategorikan sebagai ayat khabari (mengkhabarkan/ memberitahu/ memaklumkan). Maksudnya, suami memaklumkan kepada isteri, jika dia keluar rumah pada ketika itu (waktu pergaduhan) maka suami jatuhkan talak.
Justeru, jika isteri keluar rumah waktu pergaduhan itu, dan suami menjatuhkan talak ke atasnya, maka berlakulah talak ke atas isteri. Sekalipun isteri keluar rumah, tetapi suami tidak menjatuhkan talak, maka talak tidak jatuh ke atas isteri. Ini kerana lafaz itu berbentuk khabari. Sekiranya saudara ingin mendapatkan kepastian, boleh kemukakan ke Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal untuk penjelasan selanjutnya.
Sekian, terima kasih