Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assamualaikum, saya ingin bertanya, apakah hukum seorang suami yang melakukan hubungan intim pada isteri saat isteri tidur/tertidur? Walaupun pada keadaan isteri sedar, isteri setuju untuk berhubungan, tapi bila sampai masanya isteri tertidur.
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, hubungan intim secara umumnya adalah antara hak yang perlu ditunaikan oleh pasangan yang sudah berumahtangga. Hak tersebut perlu ditunaikan dengan segera jika boleh ketika ia dituntut tanpa melibatkan sebarang kezaliman dan pengabaian daripada mana-mana belah pihak. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa' ayat 19:
Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.
Imam Nawawi menukilkan kata-kata Imam Syafi'i dalam ketika menafsirkan ayat tersebut dalam Rawdat al-Talibin (7/344):
Maksudnya: Kesimpulan bagi pergaulan yang baik antara suami isteri ialah menahan diri daripada perkara yang tidak disukai, dan membebaskan pihak yang mempunyai hak daripada beban dalam menuntut haknya tanpa menzahirkan rasa tidak suka. Mana-mana antara keduanya yang melengah-lengahkan (menunaikan hak) dengan sengaja (sedangkan dia mampu), maka penangguhan tersebut adalah satu kezaliman.
Para ulama mazhab Syafi'i menjelaskan:
Maksud “menahan diri daripada perkara yang tidak disukai” ialah menjauhi apa sahaja yang dibenci oleh pasangannya.
Maksud “membebaskan pihak yang mempunyai hak daripada beban dalam menuntutnya” ialah tidak menyusahkan pasangannya dalam menunaikan hak tersebut sehingga terpaksa bersusah payah atau berulang kali menuntutnya.
Dan maksud “tanpa menzahirkan rasa tidak suka” ialah menunaikan hak itu dengan hati yang reda dan wajah yang ceria (tidak masam atau berat hati).
Justeru, perbuatan melakukan hubungan dengan isteri pada saat isteri sedang tidur boleh dikategorikan sebagai pergaulan dengan cara yang tidak baik.
Sekian, terima kasih.