Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz.
Saya baru berkahwin bulan lepas dan ada sedikit masalah.
Suami saya sejak sebelum kahwin kerapkali ada lintasan2 hati dan fikiran yang bukan2. Dia juga ada rasa takut gelisah yang melampau.
Lepas kami berkahwin, dia cerita yang dia sangat takut. Rasa takut yang melampau sampai ada lintasan hati yang berfikir untuk bercerai. Tapi dia berkata dia tak ada niat langsung LillahiTaala untuk menceraikan saya tapi lintasan hati tu kadangkala ada.
Ada suatu hari dia hantar saya pergi kerja, dan kami cakap "bye" cium tangan seperti biasa. Tiba2 seminggu lepas kejadian tu, dia beritahu sewaktu cakap "bye" tu terdapat lagi bisikan hati yg ingin bercerai. Walhal kami tiada gaduh apa pun, dan dia sendiri berkata dia tak ada niat langsung nak bercerai. Sekarang ni dia sangat takut and resah sampaikan taknak bercakap sebab takut dia akan cakap benda tu.
Soalan saya ustaz,
1. Adakah lintasan hati sama dengan niat? Bolehkah lintasan hati tu datangnya dari syaitan yang sentiasa buatkan suami saya rasa was was?
2. Adakah perkataan bye tu boleh jatuh lafaz? Kerana suami saya sangat takut jika dia tak sengaja melafazkan talak kinayah kepada saya.
Terima kasih atas jawapan.
Jawapan
Menjawab soalan yang diajukan:
1. Lintasan hati dan niat adalah 2 perkara yang berbeza dan lintasan hati bukanlah niat. Lintasan hati adalah pemikiran atau idea yang datang dalam hati secara tiba-tiba. Sedangkan niat adalah keinginan atau kehendak yang disertai dengan azam dan keputusan untuk buat sesuatu.
Lintasan hati boleh hadir pada perkara yang baik atau buruk. Ia boleh berlaku dengan sebab gangguan daripada syaitan yang sememangnya suka membisik-bisikkan ke dalam hati manusia lebih-lebih lagi dalam perkara buruk yang tujuannya untuk menyesat dan menyusahkan hidup manusia.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Nas, ayat 4-6:
Maksudnya: Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin (syaitan) dan manusia.
Besar kemungkinan apa yang berlaku kepada suami adalah disebabkan oleh gangguan dan bisikan syaitan. Oleh itu, seandainya terdapat lintasan atau bisikan di dalam hati perkara yang tidak baik atau salah, maka hendaklah diabaikan. Ini kerana melayan lintasan hati pada perkara-perkara yang tidak wajar hanyalah bisikan syaitan yang merosakkan.
Hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan umatku terhadap apa-apa yang dibisikkan kepada mereka dari perasaan was-was, ataupun monolog-monolog di dalam diri mereka selama mana mereka tidak melakukannya atau berkata-kata. (Riwayat Al-Bukhari)
Mintalah pertolongan serta perlindungan daripada Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah Fussilat ayat 36:
Maksudnya : Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Ucapkanlah:
Maksudnya: Aku berlindung dengan Allah dari Syaitan yang direjam.
Maksudnya: Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau Ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku". (Surah Al-Mu'minun: 97-98).
2. Ucapan 'bye' itu tidak menyebabkan jatuh talak. Abaikan.
Sekian terima kasih