BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum..

Ayah Saya telah meninggal dunia 2 bln Lps..

Dia meninggal kan seorang isteri (ibu tiri sy) 4 org anak kandung (adik beradik saya) dan 3 org anak tiri (anak kpd ibu tiri saya)

Utk makluman..

Tempoh perkahwinan ayah dan ibu tiri - lebih kurang 3 tahun - tiada zuriat 

Tidak pernah melakukan hubungan badan - menurut cerita dari ibu tiri

Ayah jatuh sakit semasa usia perkahwinan kurang 1 tahun - dimensia

Dan terlantar diatas katil 6 bln sebelum meninggal - strok dan kencing manis

Soalan:

1. Tempoh eddah ibu tiri - ada atau tiada.. jika ada.. berapa lama tempohnya

2. Harta sepencarian - apakah yang di maksudkan dgn harta sepencarian..

3. Adakah beliau berhak ke atas harta ayah 

4.Bagaimana jika beliau tidak mahu menuntut harta tersebut

Sekian

Terima kasih

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, iddah bagi isteri arwah ayah (ibu tiri) wajib selama 4 bulan 10 hari, walaupun ibu tiri dan arwah ayah tidak pernah bersama (bersetubuh) atau belum melakukan hubungan intim. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 234, isteri yang kematian suami perlu beriddah dan tidak berhias:

(234) وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَٰجًۭا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍۢ وَعَشْرًۭا ۖ فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا فَعَلْنَ فِىٓ أَنفُسِهِنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ

Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

Merujuk kepada persoalan yang berikutnya, harta sepencarian adalah harta yang diperolehi oleh suami isteri, semasa dalam perkahwinan dengan usaha bersama atau harta yang diperolehi sebelum perkahwinan tetapi dimajukan atau dikembangkan dalam tempoh perkahwinan. Harta sepencarian ini boleh dituntut ketika pihak-pihak berlaku perceraian, poligami atau selepas kematian salah satu pihak (suami atau isteri). Adapun dalam penentuan harta sepencarian, Mahkamah Syariah akan menentukan bahagian pihak suami atau isteri berdasarkan jumlah sumbangan mereka ke atas harta sepencarian tersebut sama ada sumbangan secara langsung seperti wang deposit pembelian harta, bayaran ansuran bulanan, kos renovasi, pembayaran cukai atau sumbangan secara tidak langsung seperti urusan rumahtangga yang diuruskan oleh isteri seperti idea, dorongan dan lain-lain.

Berdasarkan situasi serta persoalan yang dikemukakan, ibu tiri puan berhak mewarisi secara faraid ke atas pusaka arwah ayah puan sebanyak 1/8 bahagian. Sekalipun ibu tiri tidak mahu menuntut bahagiannya ke atas harta pusaka arwah ayah, ibu tiri itu berhak tahu jumlah sepatutnya bahagian yang beliau layak terima ketika proses pembahagian harta pusaka sedang dilaksanakan dan menolak bahagiannya secara sukarela, sama ada dengan atau tanpa balasan. Ianya mesti dilakukan dengan kerelaan sendiri tanpa paksaan. Sekiranya proses pembahagian harta pusaka arwah ayah dilaksanakan di Pejabat Pusaka Kecil di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), maka ibu tiri perlu mengisi dan menandatangani borang DDA (borang persetujuan) dan perlu diserahkan ketika proses perbicaraan berlangsung.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 89

message user image