BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz, mohon pencerahan berkaitan soalan yang ingin saya tahu. 

1. Bagaimana sekiranya seorg suami berkata kepada isteri keduanya tentang status isteri pertama. Contohnya isteri kedua bertanya kepada suami

- adakah isteri pertama masih lagi isterinya dan suami menjawab bukan lagi isterinya dan isteri kedua adalah satu-satunya isteri yg dia ada  soalan ini ditanya sebanyak 3 kali dalam keadaan sedar dan jawapannya tetap sama.

- untuk kepastian lagi isteri kedua bertanyakan hal yg sama siapa wanita itu dlm hidupnya namun jawapan yg diberikan suami " wanita itu bukan siapa² dalam hidupnya" . Pertanyaan ini dibuat sebulab selepas pertanyaan yg di atas.  Adakah jatuh talak kepada isteri pertamanya jika suami berkata dengan jelas ulangan 3 kali .

Mohon pencerahan ustaz.

Terima kasih, assalamualaikum 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Dalam hukum feqh, terdapat dua jenis talak berdasarkan kepada kejelasan lafaz yang diucapkan oleh suami. Pertama: talak sorih (jelas), dan kedua: talak kinayah (tidak jelas). Talak sorih, seperti ucapan suami kepada isteri: "Aku ceraikan engkau", maka talak akan berlaku walaupun tanpa niat, walaupun suami hanya bergurau senda. Yang kedua adalah talak kinayah (kiasan), seperti ucapan suami kepada isteri: "Antara kita tidak ada hubungan lagi", "dia bukan isteriku", "dia bukan siapa-siapa" dan sebagainya, lafaz kinayah ini bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Namun, jika suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.

Merujuk kepada persoalan puan di atas, jawapan suami itu seperti bukan lafaz talak yang jelas atau sorih, tetapi ia adalah lafaz kinayah (kiasan) yang memerlukan penjelasan dan pengakuan dari suami, apakah niatnya ketika menjawab pertanyaan isteri keduanya itu. Adakah dia berniat cerai atau sebaliknya. 

Oleh yang demikian, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, apatah lagi timbul persoalan samada suami yang melafazkan perkataan tersebut mempunyai niat cerai atau tidak, maka pasangan atau isteri kedua atau suami tersebut hendaklah merujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, 

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 43

message user image