BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Dato' Mufti

 

Saya ingin mengemukakan beberapa soalan berkaitan isu talak, khususnya talak taklik dan talak kinayah:

 

1. Adakah talak taklik yang hanya diniatkan dalam hati tanpa sebarang lafaz dikira sebagai talak?

 

2. Berkaitan talak kinayah, adakah talak ini hanya jatuh jika disertai niat yang jelas untuk menceraikan isteri dalam hati seperti "aku talak kamu ", atau niat dalam hati seperti “aku niat talak”? Yang mana dikira jatuh talak sambil lafaz talak kinayah 

 

3. Saya sering mengalami waswas berkaitan talak kinayah. Contohnya, apabila saya mengucapkan ayat biasa seperti “saya mahu duduk seorang”, saya menjadi takut jika terlintas sesuatu dalam hati, walaupun tiada niat sebenar untuk menceraikan isteri. Keadaan ini membuatkan saya takut untuk bercakap menggunakan lafaz-lafaz kinayah atau ayat harian yang biasa.

 

4. Mohon panduan dan nasihat daripada pihak Mufti tentang cara mengelakkan serta merawat waswas berkaitan talak, kerana ia amat mengganggu ketenangan saya.

 

Sekian, terima kasih atas perhatian dan bimbingan.

 

Jazakumullahu khairan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan saudara :

1. Jika seseorang berniat talak dalam hatinya tetapi tidak melafazkannya, maka tidak jatuh talak tanpa khilaf di sisi ulamak. mazhab Syafi‘i. Ini kerana talak adalah pembubaran akad yang kuat, maka ia tidak berlaku dengan niat semata-mata.

2. Talak kinayah hanya jatuh jika ada niat yang jelas untuk menceraikan ketika lafaz itu diucapkan. Dalam mazhab Syafi‘i, niat yang sah mestilah mempunyai:

     - Keazaman yang jazam (tegas dan pasti)

     - Sengaja menceraikan memang mahu memutuskan nikah (Qasd al-talaq secara khusus)

     - Wujud ketika lafaz diucapkan atau berserta ketika lafaz diucapkan. (Muqaranah dengan lafaz)

Oleh yang demikian, lintasan hati yang tidak disertai azam tidak dianggap sebagai niat syar‘ie.

3. Perasaan tidak tenang, was‑was, atau fikiran yang kerap memikirkan sama ada talak jatuh atau tidak bukanlah tanda bahawa talak itu memang berlaku. Dalam fiqh, talak tidak berlaku hanya dengan syak atau was‑was. Kaedahnya:

اليقين لا يزول بالشك

Yang maksudnya : Keyakinan tidak hilang dengan sebab keraguan.

Maknanya, selagimana tuan sebagai suami yakin bahawa setiap apa yang tuan lafazkan itu tidak disertai dengan niat untuk menceraikan isteri,  maka hukum asal perkahwinan masih kekal dan tidak menyebabkan jatuhnya talak. Tuan tidak perlu dibayangi dengan rasa takut untuk berkomunikasi dengan sesiapa pun asal sahaja perkataan yang diungkapkan itu tiada kaitan dengan talak dan tiada niat untuk menceraikan isteri sebagaimana yang telah dijelaskan dalam perkara 2 di atas.

4. Waswas dalam talak ini sangat berat ujiannya kerana ia melibatkan rumah tangga, ikatan suami isteri dan sebagainya. Namun perlu tuan yakini dan pastikan dalam kehidupan seharian:

i) Jangan amalkan ulang-ulang semak niat. Setiap kali timbul persoalan cerai atau terfikir-fikir ada atau tidak berniat cerai, maka lawan perasaan itu dan jawab dalam hati secara pasti bahawa aku tidak berniat cerai dan berhenti berfikir tentangnya.

ii) Jangan analisis lintasan hati. Yakin hati dan diri bahawa lintasan hati bukan niat, takut bukan niat dan ragu-ragu juga bukan niat.

iii) Elakkan mencari hukum yang sama berulang kali. Kalau sudah ada orang yang berautoriti atau orang alim yang diyakini ilmunya memberikan jawapan terhadap persoalan hukum yang tuan tanyakan, maka janganlah tuan ragu-ragu dan merujuk pula kepada orang lain berulang-ulang kali kerana tindakan suka tanya soalan sama berkali-kali, semak hukum berulang dan bandingkan pendapat adalah lebih membawa kepada menguatkan was was, bukan membina keyakinan terhadap was was yang dihadapi. Banyakkan istighfar. Amalkan membaca: أعوذ بالله من الشيطان الرجيم, abaikan lintasan serta-merta dan kuatkan keyakinan dalam diri bahawa syaitan mahu merosakkan rumah tangga.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 88

message user image