BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya ingin bertanya tentang hukum seorang isteri memohon cerai sekiranya suami gagal membimbing isteri kerana terlalu jahil tentang hukum agama serta tidak dapat menerima teguran daripada isteri.

Setiap kali isteri menegur suami berkaitan hukum agama, suami akan marah kerana berasa tergugat. Contohnya, apabila suami membawa pulang makanan daripada kedai bukan Muslim yang tidak mempunyai logo atau sijil halal, isteri berasa bimbang makanan tersebut mungkin mengandungi bahan yang tidak halal seperti babi atau arak. Namun, suami menjadi marah dan mengatakan isteri terlalu berprasangka buruk terhadap orang lain.

Selain itu, suami juga menegaskan agar isteri tidak bercakap tentang hal agama dengannya.

Sehubungan dengan itu, saya memohon jasa baik pihak tuan untuk memberikan penjelasan dan pandangan hukum berkaitan perkara ini. Saya ingin memahami apakah hak dan pilihan yang ada di sisi syarak dalam situasi sebegini, agar saya dapat membuat keputusan yang tepat tanpa melanggar ketetapan agama.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد

Menjawab persoalan puan, jelasnya Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 172:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُلُوا۟ مِن طَیِّبَـٰتِ مَا رَزَقۡنَـٰكُمۡ وَٱشۡكُرُوا۟ لِلَّهِ إِن كُنتُمۡ إِیَّاهُ تَعۡبُدُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

Tindakan suami membawa pulang makanan dari kedai bukan muslim yang tidak mempunyai logo atau sijil halal, wajarlah diragui kerana boleh membawa kepada perkara syubhah.

Justeru, penerangan lanjut berkenaan perkara ini boleh layari link berikut: https://www.muftiselangor.gov.my/2025/02/27/82-taudhih-al-hukmi-hukum-makan-di-restoran-non-muslim-yang-menyediakan-makanan-halal/

Sekiranya perkara tersebut menggugat keharmonian puan dalam rumahtangga sehingga ingin memohon perceraian, sebaiknya boleh dipanjangkan ke Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal untuk mendapatkan khidmat nasihat kekeluargaan dan penjelasan selanjutnya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 29

message user image